Berita

Malaysia bersedih, Covid-19 catat kematian ke-16

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 24 Mac 2020 4:53 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 di Malaysia mencatat peningkatan apabila seorang lagi pesakit meninggal dunia menjadikan 16 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian ke-16 yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) itu merupakan kes ke-1334 iaitu warganegara Malaysia berusia 75 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

“Beliau telah mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac 2020 dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu.

“Kesihatan beliau telah merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac 2020,” ujarnya dalam kenyataan malam tadi.

Namun kata Noor Hisham, mangsa disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020 pukul 7.40 malam.

“Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan tentang kes kematian ke-15 (kes ke-1519), lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun berasal dari Melaka.

Mangsa disyaki mempunyai kontak dengan kes positif Covid-19 (kes ke-703) yang telah menghadiri perjumpaan tabligh di Masjid Seri Petaling, katanya.

Lelaki itu yang mempunyai sejarah penyakit kronik itu telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor mulai 18 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 5.35 pagi, 24 Mac 2020.

Terkini, Noor Hisham berkata, seramai 24 lagi pesakit Covid-19 di Malaysia telah sembuh dan discaj hospital.

Ini menjadikan 183 pesakit sembuh keseluruhan atau 11.3 peratus, ujarnya.

Tahniah dan terima kasih kepada kakitangan kesihatan Kementerian Kesihatan.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai 106 kes baharu Covid-19, menjadikan 1,624 kes keseluruhan pada 24 Mac 2020.

Daripada 106 kes itu, 43 dari kluster jemaah tabligh yang hadir ke Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling dan selebihnya iaitu 63 lain-lain kluster yang masih dalam siasatan.

Seramai 64 pesakit berada di ICU termasuk 24 memerlukan bantuan pernafasan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas