Berita

Klinik Suria lakukan proses disinfeksi

- Diterbit 24 Mac 2020 6:56 PM MYT

LABUAN – Sebuah klinik swasta di sini  melaksanakan proses disinfeksi selepas seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik itu didapati positif Covid-19 pada 19 Mac lepas.

Seorang doktor klinik itu bersama tiga staf lain pula telah menjalani proses kuarantin.

Pemilik Klinik Suria, Dr. Sulaiman Ibrahim berkata, ujian ke atasnya dan tiga staf lain adalah negatif dan mereka kini menunggu keputusan bagi sampel kedua.

“Mesej ringkas yang diviralkan dalam pelbagai platform media sosial, termasuk WhatsApp adalah separuh sahih, hanya saya dan tiga staf lain sahaja yang dikuarantin, ” katanya dalam laman Facebooknya.

Dr. Sulaiman memberitahu, seorang pesakit ada datang mendapatkan rawatan di kliniknya pada 10 Mac dan hanya berada di situ selama 15 minit.

“Pada waktu itu, hanya ada tiga pesakit lain di dalam klinik dan kesemua mereka telah menjalani ujian saringan kesihatan di Hospital Labuan,” katanya.

Sulaiman berkata, keputusan pesakit itu yang positif Covid-19 hanya diketahuinya pada 19 Mac dan beliau memutuskan untuk menutup klinik tersebut mulai 19 Mac hingga sekarang.

“Klinik telah menjalani proses disinfeksi oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan pada pagi 19 Mac dan staf yang ada kontak rapat dengan kes itu telah diambil sampel di Hospital Labuan pada hari sama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas