Berita

Pak Salleh sudah boleh buka restoran, pelanggan dihadkan

SUASANA di dalam restoran yang selesa.
- Diterbit 1 Mei 2020 6:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Setelah memberikan analogi tentang Mak Cik Kiah, hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan contoh baharu iaitu Pak Salleh yang akan dibenarkan membuka restorannya secara terhad mulai Isnin ini setelah terpaksa ditutup sejak 18 Mac lalu.

Perdana Menteri berkata, pengusaha restoran seperti Pak Salleh boleh menerima sejumlah kecil pelanggan untuk dibenarkan makan di dalam premis mereka dalam satu-satu masa.

“Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.

“Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja. Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan,” katanya.

Muhyididn berkata, peniaga perlu meletakkan garisan di lantai depan kaunter bayaran sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

“Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran,” katanya.

Ketiganya, jelas beliau, peniaga perlu sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran untuk pelanggan bersihkan tangan.

“Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan. Beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk,” katanya.

Keempat, Pak Salleh katanya perlu membeli topeng muka untuk diberikan kepada pekerja dan memastikan mereka memakaikanya pada setiap masa.

“Pak Salleh pun kena pakai face mask,” pesannya.

Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.

Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif Covid-19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan-pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran, kata Perdana Menteri.

“Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan Covid-19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.

“Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah,” katanya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas