Berita

Galak sektor awam kerja dari rumah

KAKITANGAN awam digalakkan kerja dari rumah. Gambar hiasan
- Diterbit 1 Mei 2020 7:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei ini, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Perdana Menteri berkata, bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

“Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 1 Mei hari ini.

Perdana Menteri berkata, ketika di tempat kerja, majikan mesti periksa suhu badan pekerja setiap hari.

“Kalau suhu badan tinggi, nasihatkan pekerja supaya balik atau pergi ke klinik dengan segera. Selain itu, anda sebagai pekerja pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan sentuhan atau body contact dengan rakan sekerja yang lain,” nasihat beliau.

Muhyiddin berkata, pihaknya menyedari rakyat tidak boleh selama-lamanya berkurung di dalam rumah kerana mereka perlu keluar bekerja, berniaga dan membeli barang keperluan harian.

Dalam hal ini, apa yang penting ialah orang ramai mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

“Jaga keselamatan dan keluar rumah hanya untuk urusan-urusan yang perlu sahaja. Patuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke tempat awam. Bawa hand sanitizer. Seboleh-bolehnya, jadikan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada para petugas barisan hadapan  – doktor, jururawat, polis, tentera, RELA, Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC.

“Sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini, saya ingin mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuat kuasa,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas