Berita

Padang Bola Sepak Bandar Tun Razak ikut standard FIFA

KHALID-PADANG
KHALID (dua kiri) melihat plan pembinaan padang bola sepak ketika hadir ke Majlis Penyerahan Padang Bola DBKL 2 di Bandar Tun Razak di sini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 5 September 2019 5:14 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Bagi memberi keselesaan dan memudahkan penduduk menjalani aktiviti kesukanan, sebuah padang bola sepak yang mengikut standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kos dianggarkan RM6 juta dibina di Bandar Tun Razak di sini.

Majlis penyerahan Padang Bola Sepak DBKL 2 Bandar Tun Razak itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad hari ini.

Menurut Khalid, usaha yang dilakukan pihak pemaju amat dihargai kerana sanggup menyediakan padang bola gantian kepada penduduk selepas tanah asal padang tersebut diambil untuk pembinaan rumah mampu milik sebelum ini.

“Pada masa ini, penduduk mempunyai padang bola yang dibina dengan turf sintetik tetapi ia berada jauh sikit dari rumah dan kedudukan flat Seri Labuan. Ekoran itu, penduduk mohon supaya satu lagi padang bola sepak dibina.

“Saya lihat keadaannya sebelum siap, ia merupakan kawasan lembah yang saya rasakan sukar untuk membuat pembinaan tetapi keadaan hari ini membolehkan sayarasa berpuas hati,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan padang bola sepak.

Khalid memberitahu, pembinaan padang bola sepak yang seluas 1.6 hektar itu juga dilaksanakan dengan baik termasuk penyediaan beberapa kemudahan seperti tempat parkir, bilik air serta sistem pengairan dan perparitan.

Malah, katanya, lembah yang turut mempunyai anak sungai, mata air dan semak samun berjaya ditangani pihak syarikat.

Tambah beliau, padang baharu itu merupakan milik penduduk tetapi urusan penjagaan dan penyelenggaraan akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum mempunyai pihak bertanggungjawab yang mampu mengurus.

Difahamkan, padang bola sepak Bandar Tun Razak merupakan padang berpagar yang menggunakan rumput jenis cowgrass dan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya 60 buah tempat letak kenderaan, tandas awam yang diubah suai dan mempunyai bilik persalinan bayi serta bilik mandi.

Selain itu, sistem pengairan juga telah dipasang demi penjagaan padang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas