Berita

Padah ingkar arahan penguatkuasaan biodegradasi, 32 kompaun dikeluarkan

OPERASI Tindakan Bersepadu Biodegradasi yang dijalankan di Sungei Wang Plaza di sini, semalam.
- Diterbit 29 Januari 2020 7:26 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32 notis kompaun penggunaan plastik dikeluarkan dalam Operasi Tindakan Bersepadu Biodegradasi di Sungei Wang Plaza di sini semalam, selepas tiga minggu pelaksanaan penguatkuasaan produk tersebut di Wilayah Persekutuan.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Perlesenan DBKL dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

MOHD. IYADH

Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pembangunan Strategik, Kementerian Wilayah Persekutuan, Mohd. Iyadh Mokhtar berkata, pihaknya yakin menerusi operasi tersebut, pemilik perniagaan akan lebih bertanggungjawab dan patuh pada undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Daripada operasi ini, saya mendapati ramai peniaga yang patuh guna produk biodegradasi. Cuma segelintir sahaja yang bersikap ambil mudah dan ingkar penggunaan produk biodegradasi ini.

“Sebanyak 32 notis kompaun biodegradasi ini dikeluarkan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu tidak menggunakan produk pembungkusan yang ditetapkan (produk biodegradasi) Datuk Bandar.

“Selain itu, tindakan lain turut dikenakan iaitu 13 notis UUK 3(1) Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (WPKL) 2016; Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (23 notis); UUK 25(1)(e) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 (9 notis),” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Iyadh memberitahu, operasi tersebut juga akan dijadikan salah satu Indikator Pencapaian Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad bagi tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas