Berita

PA Seri Perlis 2 bolot Anugerah SIDANG REDAKSI Kebun Kejiranan Bandar KL 2023

LATIFF (dua dari kanan) menerima Anugerah Wira Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur 2023 yang disampaikan oleh Datuk Bandar (dua dari kiri).
- Diterbit 18 Mac 2023 1:00 AM MYT

PERUMAHAN Awam (PA) Seri Perlis membolot tiga Anugerah Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur (KL) tahun 2023 sekali gus membuktikan bahawa kerjasama dalam melestarikan alam sekitar mendapat sokongan padu daripada penduduk setempat.

Penyelaras Kebun Kejiranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PA Seri Perlis 2, Latiff Abu Hassan berkata projek kebun kejiranan yang diusahakan sejak tahun 2014 telah memberikan pulangan dalam pelbagai bentuk yang dapat membantu komuniti setempat untuk terlibat secara aktif dalam pertanian bandar.

“Kami memulakan usaha pertanian bandar ini dengan objektif untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam mengurangkan perbelanjaan di rumah dengan memanfaatkan ruang di kawasan kejiranan dan ia berjaya dilaksanakan.

“Selain itu, inisiatif ini juga berjaya mempelbagaikan lagi fungsi kebun kejiranan ini dengan membantu menjana pendapatan, menambahkan pengetahuan mengenai pertanian dan menyemai nilai persaudaraan dalam kalangan peserta serta komuniti setempat,” katanya kepada Wilayahku pada
Sabtu.

Latiff berkata dua anugerah iaitu Pengiktirafan 5 Bintang Anugerah Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur 2023 dan Anugerah Khas Juri bagi kategori Komuniti Keusahawanan dilihat sebagai pengiktirafan terhadap usaha berkumpulan yang berjaya menjadi contoh kepada komuniti lain untuk bergerak lebih aktif dalam mengusahakan pertanian bandar.

“Dua anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap semua 33 peserta yang secara serius mengusahakan projek kebun kejiranan ini sehingga ia mampu memasarkan produk pertanian kepada komuniti setempat sekali gus dilihat berjaya menangani masalah keterjaminan makanan di perumahan kami.

“Hasil tani tersebut turut dijual kepada orang ramai dan ia mampu menjana pendapatan yang akhirnya akan menyumbang semula untuk kesejahteraan komuniti PA Seri Perlis 2,” katanya.

Beliau yang turut menerima Anugerah Wira Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur 2023 bersyukur kerana anugerah itu membantu meluaskan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan sekali gus dapat menambahkan kualiti dan aktiviti pertanian selari dengan penggunaan teknologi moden.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata Majlis Anugerah Kebun Kejiranan Bandar Agenda Tempatan (LA) 21 Kuala Lumpur ini bertujuan untuk meraikan ahli-ahli kebun komuniti dan telah bermula sejak tahun 2016.

“Penganjuran anugerah ini juga selari dengan dasar yang telah disarankan berdasarkan Dasar Kebun Komuniti Negara Dan Blueprint Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur sepanjang tempoh bermula projek pada tahun 2014 hingga kini,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 18 komuniti kebun kejiranan bandar telah menghantar penyertaan dengan pelaporan yang lengkap dan tujuh peserta merupakan peserta kali pertama manakala baki 11 peserta merupakan penyertaan kali kedua. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas