Berita

Dataran Labuan kini lokasi liburan popular

SEKITAR pemandangan di Dataran Labuan yang telah dinaik taraf dan dihiasi hiasan lampu di sebelah malam.
- Diterbit 18 Mac 2023 1:00 AM MYT

SUASANA suram dan sepi di Dataran Labuan yang merupakan antara taman rekreasi tertua di bandar utama Pulau Bebas Cukai itu kini tampil dengan wajah baharu selain bakal menjadi tarikan pelancongan selepas penyiapan projek menaik taraf infrastruktur bernilai RM2.3 juta baru-baru ini.

Projek naik taraf yang telah dikendalikan oleh Perbadanan Labuan (PL) sejak 2021 itu tampak memberi nafas baharu dengan menawarkan pelbagai penambahbaikan insfrastruktur termasuk pencahayaan berwarna-warni di Monumen Chimney, permukaan lantai dan juga landskap buat para pengunjung.

Dengan imej baharu yang lebih ceria, para pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pencahayaan lampu di sebelah malam malah mereka juga boleh melakukan aktiviti riadah seperti joging dan sebagainya bersama keluarga atau rakan.

Hasil tinjauan Wilayahku, sejak ia mula dibuka semula baru-baru ini warga Labuan tanpa mengira usia dan kaum tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke taman rekreasi tersebut pada hujung minggu.

MAT Hairi bersama isterinya.

Menurut seorang pengunjung, Mat Hairi Salleh, 37, pembukaan semula dataran ini merupakan saat yang dinanti-nantikannya sejak ia mula dinaik taraf pada dua tahun lalu.

Tambah Mat Hairi, tempat tersebut berbaloi untuk dikunjungi para pengunjung kerana pelbagai kemudahan telah disediakan selain dilengkapi dengan pemandangan landskap yang indah.

“Perubahan yang pihak PL lakukan terhadap taman rekreasi ini adalah amat berbaloi kerana kini Labuan mempunyai dataran yang indah sama seperti di tempat lain.

“Amat sesuai untuk membawa keluarga beriadah di sini dengan landskap baharu sambil dapat menikmati pencahayaan lampu yang menarik. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat kerana menaik taraf kawasan ini dengan cukup baik,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Manakala bagi Shakira Zainal, 27, pembukaan semula Dataran Labuan itu membuatkan dia dan rakannya berasa teruja dengan perbezaaan yang amat ketara berbanding sebelum ini.

“Kalau sebelum ini Dataran Labuan hanya dikenali sebagai tempat penganjuran acara besar seperti Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan ketika itu fasiliti di sini tidak sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi beriadah bersama keluarga.

“Jujur saya berpuas hati dengan perubahannya di mana landskap serta lampu yang menghiasi taman ini sememangnya membuat kami terpegun dan juga boleh dijadikan sebagai lokasi bergambar.

“Selepas ini kami akan jadikan Dataran Labuan sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi pada hujung minggu untuk bersantai sambil menghirup udara segar,” ujarnya yang teruja dengan perubahan taman rekreasi tersebut.

ZULKIFLI

Sementara itu, Zulkifli Gudang, 44, menyifatkan perubahan wajah baharu Dataran Labuan merupakan satu usaha yang bernas kerana dapat menaikkan imej Labuan sebagai sebuah pulau yang maju kepada pelancong luar.

“Dahulunya Dataran Labuan menjadi tumpuan penduduk mahupun pelancong luar tetapi apabila sudah lama terbiar ia menjadikan tempat ini usang dan orang ramai mula tidak menghiraukan taman ini.

“Projek naik taraf ini secara tidak langsung menjadikan Dataran Labuan kembali menjadi tumpuan warga di pulau ini seperti masa dahulu,” ujarnya yang turut mengharapkan para pengunjung untuk bersama-sama menjaga keindahan taman tersebut agar dapat memberi manfaat kepada orang ramai serta menjadikannya sebagai destinasi pelancongan popular. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas