Berita

Lagu Gedik inspirasi Cek Mek Molek – Baelon kagumi M Daud Kilau

|BAELON kagumi penyanyi hebat Datuk M Daud Kilau
- Diterbit 7 April 2021 11:27 AM MYT

PENYANYI baharu yang mula dikenali melalui aplikasi Tik Tok, Baelon kini muncul dengan lagu berjudul Gedik yang berdurasi satu minit.

Istimewanya, Baelon menjadikan lagu ikonik, Cek Mek Molek nyanyian Datuk M Daud Kilau sebagai inspirasi utama.

Tentu sekali ia satu strategi yang cukup bijak apalagi lagu itu sendiri masih digilai hingga sekarang. Penghasilan lagu itu juga sekali gus adalah impian jadi kenyataan buat Baelon.

“Secara peribadi, Cek Mek Molek adalah antara lagu kegemaran saya selain ia terlalu ikonik serta malar segar. Yalah, sejak kanak-kanak lagi saya sudah mendengar lagu itu.

“Jadi, selepas membuat perbincangan bersama pihak pengurusan dalam aspek pemilihan lagu, kami bersetuju untuk tampil dengan Gedik.

“Gedik secara dasarnya memang diinspirasikan daripada lagu Cek Mek Molek. Semestinya saya sangat teruja apabila mendapat peluang keemasan untuk memberikan nafas baharu terhadapnya.

“Tambahan pula, Datuk M Daud Kilau memang idola saya. Beliau tersendiri dan tak semua orang mampu tandingi gaya beliau,” katanya.

Sentiasa terbuka dan berani mencabar dirinya, Baelon melangkah setapak ke depan untuk merealisasikan lagu ini.

Katanya, dia enggan semberono untuk hasilkan Gedik kerana ia ibarat bayi pertamanya. Justeru, dia memutuskan untuk mencabar diri belajar dan menulis lirik rap meskipun elemen itu di luar zon selesanya.

“Saya cuba tulis dan belajar rap buat pertama kali. Sejak dulu pun saya memang berangan jadi penyanyi serta penulis lagu.

“Bo selaku penerbit yang mencipta rentak sebelum saya terfikir alangkah menariknya jika dimasukkan rap. Saya kemudian cuba untuk gunakan kemahiran rap amatur saya amatur untuk cipta lirik yang mesra telinga,” ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut mengenai penulisan lirik itu, Baelon tidak menafikan bahagian itu tentunya yang paling mencabar.

Namun begitu, dia memutuskan untuk menjadi diri sendiri saja dalam mengungkapkan lirik itu sejujurnya. Tidak ketinggalan, dia akui berdepan kesukaran sewaktu proses merakam vokal.

“Saya memang sudah lama belajar tulis lirik apalagi saya sejenis yang suka berangan sampai tahap melangit sejak dulu lagi.

“Tulis lirik lagu biasa itu bagi saya sudah boleh buat. Tapi untuk cipta lirik rap, sangat mencabar. Apapun, sebenarnya saya tidak ambil masa lama pun untuk menulis liriknya.

“Jenis ayat saya gunakan adalah perkataan yang biasa saya cakap. Untuk rakaman, agak sulit sebab saya tak biasa lagi. Nak kena rakam lapis demi lapis dan waktu itu Bo pula tak dapat nak hadir secara bersemuka sebab terpaksa kuarantin diri.

“Kami hanya dapat berinteraksi menerusi atas talian. Tapi, ia satu pengalaman baharu yang sangat berharga buat saya,” jelasnya yang mempunyai lebih 48,000 pengikut di Tik Tok dan pernah ditampilkan dalam kempen It Starts on Tik Tok.

BAELON kagumi penyanyi hebat Datuk M Daud Kilau

Bagaimanapun Baelon tidak pernah menganggap dirinya selebriti Tik Tok. Baginya, dia cuma mahu berkongsi rasa cinta mendalam dalam bidang tarian, cipta koreografi, serta nyanyian.

“Saya cuma pengguna Tik Tok yang suka berkarya dan cuba benda baharu untuk kekal relevan serta diterima masyarakat.

“Lagu Gedik adalah lagu rasmi pertama. Saya berharap orang dapat menerima karya-karya akan datang dengan baik. Saya berazam mahu terus hiburkan masyarakat kala mereka tengah bosan dan sedih. Saya nak orang gembira, cukup,” katanya.

Gedik boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas