Agama

Orang buta tidak wajib tunai ibadah haji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
- Diterbit 25 Julai 2019 11:55 PM MYT

FATWA KONTEMPORARI
Oleh DATUK SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan: Adakah ditaklifkan ibadah haji ke atas orang buta?

Jawapan: ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara syarat wajib bagi seseorang itu dalam melaksanakan ibadah haji adalah berkemampuan (istitaah). Oleh itu, jika syarat ini tidak dipenuhi oleh seorang mukallaf, maka tidak tertakliflah kefarduan haji ke atas dirinya. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT maksudnya: “Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah: 286)

Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT tidak meletakkan sesuatu bebanan kepada hamba-hambanya dengan sesuatu perkara yang tidak mampu dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada manusia dalam setiap perkara. Mereka diberikan bebanan yang mampu mereka kerjakan bahkan tidak sukar untuk mereka laksanakan. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/672-673)

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum seseorang yang buta dalam melaksanakan ibadah haji adalah tidak wajib. Hal ini kerana secara zahirnya, kita dapat melihat keterbatasan yang ada pada diri orang buta yang tidak mampu melaksanakan kerja-kerja haji tanpa bantuan orang lain. Mengambil kira hal tersebut, maka gugurlah kefarduan haji ke atas dirinya (orang buta).

Meskipun begitu, menunaikan ibadah haji akan menjadi wajib ke atas diri orang buta apabila dia mampu mengadakan pembimbing serta mampu untuk membayar perkhidmatan yang diberikan oleh pembimbing tersebut sepanjang melaksanakan ibadah haji. Hal ini kerana walaupun orang buta itu dianggap tidak berkuasa ke atas diri sendiri, dia dianggap berkuasa dengan pertolongan orang lain. Maka kefarduan haji tetap tidak gugur ke atas dirinya.

Kesimpulan

Ibadah haji merupakan satu ibadah yang penting dalam agama Islam sehingga diletakkan sebagai salah satu rukun daripada rukun Islam yang lima. Justeru kefarduan haji adalah meliputi seluruh umat Islam selagi mana memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan.

Bagi mereka yang buta, kefarduan haji tidak jatuh ke atasnya disebabkan oleh ketidakmampuan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja haji. Namun hukum tersebut menjadi wajib ke atas diri mereka sekiranya mereka mampu untuk menyediakan seorang pembantu sepanjang melaksanakan kerja-kerja haji.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas