Artikel

Cendol durian musang king jadi buruan

FARIDAH menunjukkan isi buah durian Musang King yang turut dijual di Kios 3A Dataran Putrajaya.
- Diterbit 25 Julai 2019 11:21 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

APABILA disebut namanya sahaja pasti tiada siapa akan menolaknya malah aromanya sahaja sudah cukup mencairkan hati.

Makanan pembasah tekak tradisional yang digabungkan dengan raja buah paling sedap dan mahal menjadi ‘buruan’ peminatnya yang sanggup berhabis ratusan ringgit.

Anda bayangkan, dapat menghirup cendol yang rasa lemak-lemak manis dan menikmati isi durian musang king. ‘Kenikmatan’ itulah membuatkan kiosk nombor 3A berhadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya di Presint 3 menjadi tumpuan peminat cendol musing king untuk lepaskan dahaga.

Pekerja kiosk tersebut, Faridah Che Ali, 46, berkata, dia tidak ‘menang’ tangan melayani permintaan pelanggan dek kerana terpikat dengan cendol durian musang king yang dijual di kiosk tersebut.

“Malah setiap hari terjual kira-kira 60 mangkuk cendol dan sering mendapat rungutan pelanggan kerana ‘cepat’ habis” katanya semasa ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Cendol yang dijual di kiosk ini juga mempunyai rasa yang agak unik berbanding di tempat lain dan harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM10 semangkuk. Memang berbaloi.

Santan yang digunakan agak pekat dan berlemak dicampur dengan gula merah yang menjadi perisa utama benar-benar menyelerakan.

Ditambah dengan isi durian musang king yang padat dan mempunyai tekstur tersendiri, cendol yang dihidangkan benar-benar memikat pelanggan.

Kata Faridah lagi, selain cendol durian, di kiosk tersebut turut menjual isi durian jenis musang king sejuk beku.

“Durian musang king keluaran Ezy Durian seberat satu kilogram berharga kira-kira RM110 hingga RM 130 bergantung kepada harga semasa.

“Walaupun harga tersebut dikira agak mahal, namun kerana hanya dijual isi durian, ia tetap mendapat permintaan yang menggalakkan daripada peminatnya,’’ katanya.

Jelas Faridah lagi, pelanggannya juga sering kali menempah isi durian di kiosk tersebut hingga membolehkan ia terjual kira-kira 30 hingga 40 bekas setiap hari.

Selain durian, di kiosk ini turut menjual makanan ringan, kuih-muih dan aneka minuman ringan untuk orang ramai.

Menurut Faridah, kiosk yang dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam sentiasa dikunjungi orang ramai kerana ia berhadapan dengan bank dan pejabat pentadbiran PPj.

“Kadang-kadang, kiosk akan ditutup lewat malam kerana kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah seperti berbasikal dan berjoging.

“Dengan adanya kiosk ini yang beroperasi sehingga lewat malam memudahkan orang ramai untuk melepaskan lelah bersama rakan-rakan,” katanya.

CENDOL Durian yang menjadi pilihan warga Putrajaya.
HIDANGAN cendol durian Musang King.
KIOS yang terletak di Dataran Perbadanan Putrajaya.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas