Artikel

MSWP sasar kutipan tabung RM1 juta

ZAIZALNIZAM Zainun (kiri) bersalaman dengan Hasnul Faizal selepas menandatangani MoU sambil disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.
ZAIZALNIZAM Zainun (kiri) bersalaman dengan Hasnul Faizal selepas menandatangani MoU sambil disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.
- Diterbit 26 Julai 2019 12:38 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Ekoran daripada penubuhan Tabung Amanah Sukan Wilayah Persekutuan yang dilancarkan baru-baru ini, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyasarkan kutipan sebanyak RM 1 juta bagi tahun ini.

Menurut Pengarahnya, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, pihak MSWP membuka peluang kepada pihak swasta untuk bersama-sama menjadi rakan penaja bagi memberi sumbangan dana kepada program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.

“Jika mereka berhasrat untuk menjadi penaja, kita akan membantu untuk memastikan mereka diberi pertimbangan potongan cukai yang sewajarnya,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, bukan sekadar pemotongan cukai bahkan pelbagai keistimewaan lain juga bakal ditawarkan kepada mereka seandainya berminat untuk bersama-sama menjadi rakan penaja bagi tabung tersebut.

“Setakat ini, MSWP sedang giat menggerakkan promosi tentang tabung ini. Dengan adanya dana tersebut maka ia akan membantu kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan khususnya dan negara secara amnya.

“Pembangunan sukan di wilayah merangkumi dari semua segi antaranya pengurusan kemudahan sukan, program latihan atlet, bantuan kebajikan dan pendidikan atlet serta bantuan penganjuran dan penyertaan atlet ke kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Terdahulu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSWP dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun bertujuan bagi merealisasikan agenda pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.

Terbaharu MSWP bakal menganjurkan Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) secara dua fasa iaitu pada 27 hingga 28 Julai ini di Kompleks Sukan Setiawangsa manakala pada November pula di sekitar Wilayah Persekutuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas