Artikel

Orang asing jadi warga kota

KUALA LUMPUR sentiasa dipenuhi warga asing terutama pada cuti hujung minggu. -Gambar hiasan
- Diterbit 4 Oktober 2019 5:54 AM MYT

Apabila disebut orang asing, ia merujuk pada orang bukan­ rakyat Malaysia. Maksud khusus pada perkataan rakyat pula ialah warganegara.

Namun, istilah rakyat dan warga­negara membawa maksud berbeza. Seseorang itu boleh menjadi rakyat negara ini tetapi bukan warganegara. Tetapi kesemua warganegara adalah rakyat negara ini.

Contoh mudah bagi membezakan rakyat dan warganegara berlaku pada detik-detik negara ini mencapai kemerdekaan.

Sebelum Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya mencapai kemerdekaan, tidak ada lagi warganegara. Ini kerana se­belum merdeka, Tanah Melayu belum menjadi sebuah negara. Ia hanya merupakan sebuah Negeri Naungan atau Protectorate British. Negara yang wujud ialah Britain sementara Malaya adalah Negeri Naungannya.

Sebagai negara, Britain mempu­nyai warganegaranya, iaitu segelintir daripada penduduk Malaya yang berada di Melaka dan Pulau Pinang.

Sementara penduduk lain kebanyakannya adalah rakyat di negeri­-negeri Melayu. Mereka adalah rakyat kepada Raja-raja negeri berkenaan. Perkataan rakyat digunakan sebab ada raja. Kalau tiada raja maka tiada rakyat.

Walaupun rakyat pada waktu ini sering diterjemahkan dalam bahasa­ Inggeris sebagai people tetapi maksud asal dan khususnya ialah subjects. Walaupun kedua-dua perkataan, rakyat dan raja adalah dari bahasa Melayu, tetapi kedua-duanya berbeza asal-usul.

Rakyat sebelum ejaan baharu ditulis sebagai ra’ayat adalah dari bahasa Arab. Sementara itu, raja atau dalam bahasa Inggeris selalunya dieja Rajah berasal daripada bahasa Sanskrit. Bagaimana perkataan dan konsep rakyat dan raja ini masuk ke dalam bahasa Melayu mempunyai kisah menarik tersendiri. Suatu kisah yang boleh memperkaya pemahaman seseorang terhadap tamadun Melayu.

Begitu juga dengan perubahan maksud rakyat dalam perkataan-­perkataan bahasa Inggeris, people dan subjects. Ia adalah berkaitan dengan perkembangan fahaman demokrasi zaman moden. Moden di sini bermaksud abad ke-20.

Dalam sistem demokrasi termasuk negara-negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, negara ditadbir oleh rakyat. Di sinilah istilah subjects itu sudah berubah kepada peoples walaupun dalam bahasa Me­layu ia tetap disebut sebagai rakyat.

Ada negara yang mempunyai nama rasmi Republik Rakyat seperti­ Republik Rakyat China, Republik Rakyat Bangladesh dan Republik Demokratik Rakyat Korea. Di negara­-negara itu tiada raja. Maka apa yang disebut sebagai rakyat itu adalah people dan bukannya subjects. Ia menunjukkan negara itu diperintah oleh rakyat atau golongan yang diwakili oleh rakyat.

Di negara-negara­ demokrasi yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan termasuk Malaysia, rakyat boleh juga me­rujuk kepada kedua-dua, people dan subjects. Umpamanya, rakyat Malaysia adalah juga merupakan rakyat Yang di-­Pertuan­ Agong.

Sebelum Malayan Union, penduduk negeri-negeri Melayu iaitu Johor, Ne­geri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis adalah rakyat pada raja negeri masing-masing. Raja negeri-negeri bergelar Sultan kecuali Raja Perlis dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, penduduk-penduduk Negeri-Negeri Selat adalah rakyat pada Raja Britain. Namun begitu, ada juga penduduk di Malaya ketika itu yang masih menjadi rakyat pada Maharaja China, iaitu ketika sebelum adanya Republik China, mereka adalah subjects kepada Maharaja Dinasti Ching.

Sementara itu, mereka yang datang dari India, pada masa itu adalah rakyat Raja Britain kerana India adalah sebahagian daripada Empayar British.

Rakyat

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, maka diperkenalkan konsep kerakyatan. Mereka yang menjadi rakyat pada raja negeri masing­-masing diberikan sijil ke­rakyatan. Begitu juga penduduk Melaka dan Pulau Pinang yang diberikan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu yang beribukotakan Kuala Lumpur.

Mulai 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu menggunakan konsep warganegara atau dalam bahasa Inggeris disebut citizen.

Dengan ini, rakyat Malaya tidak lagi menjadi subjects kepada raja negeri masing-masing. Mereka adalah people kepada Malaya dan warganegara pada Persekutuan Tanah Melayu yang ketuanya Yang di-Pertuan Agong.

Dari segi makna asal citizen ialah warga kota. Ia berasal dari konsep demokrasi yang mula diamalkan di Athens, Yunani. Athens adalah sebuah kota atau city. Rakyatnya adalah warga kota. Apabila Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis mengamalkan sistem republik, ia tidaklah menggunakan perkataan subjects kerana mereka tidak mempunyai raja. Jadi istilah citizen diguna­kan, iaitu meluaskan konsep warga kota kepada warganegara.

Kuala Lumpur adalah pada asalnya bandar dalam Selangor yang mempunyai sultan. Maka penduduknya adalah rakyat pada Sultan Selangor. Tidak kiralah sama ada mereka datang dari negeri-negeri lain di Tanah Melayu atau dari luar seperti Hindia Timur, India dan China.

Pegawai-pegawai British yang mentadbir Selangor tentulah tidak menganggap diri mereka sebagai rakyat Sultan Selangor. Mereka tetap merupa­kan rakyat Britain yang ber­khidmat di Malaya. Begitu juga dengan beratus-ratus penghijrah dari China yang antara mereka tetap meng­anggap diri mereka sebagai rakyat Dinasti Ching.

Tetapi apabila Dinasti Ching tumbang, ada antara mereka yang kekal sebagai rakyat pada Republik China. Namun begitu, lama kelamaan banyak penduduk Malaya menganggap di sinilah negeri mereka. Maka apabila ada antara mereka yang menentang Jepun, pertubuhannya dinamakan Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun (MPAJA). Mereka mengguna­kan istilah rakyat Malaya.

Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemerdekaan Malaya, kebanyakan penduduk Kuala Lumpur tidak kira asal mereka menjadi rakyat dan warganegara Malaya, dan kemudiannya Malaysia.

Selepas merdeka, banyaklah orang dari negeri lain berhijrah ke Kuala Lumpur. Selepas penubuhan Malaysia, terdapat juga orang Singapura, Sarawak dan Sabah menjadikan Kuala Lumpur sebagai kediaman mereka. Umumnya mereka adalah rakyat dan warganegara Malaysia.

Tetapi selepas tahun 1970, bermulalah gelombang penghijrahan orang Indonesia ke Kuala Lumpur. Kehadiran mereka dapat dilihat di Chow Kit, Kampung Baru dan Datuk Keramat. Mereka adalah warga Indonesia. Lama­-kelamaan mereka mendapat status penduduk tetap dan akhirnya anak-anak mereka menjadi warganegara.

Pada sekitar tahun 1980-an, datang gelombang baharu warga asing. Bukan saja yang datang adalah dari Indonesia, India dan Pakistan tetapi juga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Vietnam. Ada yang pe­kerja sementara tetapi ada juga yang merupakan pelarian. Ada pula yang memperoleh status penduduk tetap. Ia merupakan gejala bukan saja ber­laku di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.

Ada beberapa tempat di Kuala Lumpur seperti Pudu sudah jelas kelihatan kehadiran pusat-pusat perniagaan Bangladesh. Selain itu, ada juga tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang Korea dan Arab.

Kehadiran warga asing di Malaysia terutama Kuala Lumpur adalah suatu realiti. Walaupun bukan warganegara, tetapi setelah bertahun-tahun tinggal di ibu kota, mereka pun menjadi warga kota. Mekanisme pengurusan warga asing perlu cekap dan menepati undang-undang untuk memelihara kepentingan rakyat negara ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas