Menanti  impak Belanjawan 2020

Menanti impak Belanjawan 2020

Menjelang pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober depan di Dewan Rakyat, sudah pasti rakyat dan pemain pelbagai sektor ekonomi menantikan suatu pengumuman yang mampu memberikan impak positif.

Kelembapan ekonomi yang berlaku pada masa ini perlu diatasi dengan tindakan proaktif daripada pihak kerajaan.

Pembentangan bajet yang dapat diterima rakyat bakal menentukan sejauh mana keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan dapat ditingkatkan.

Bagi dua tahun pertama, mungkin menjadi ruang kepada kerajaan baharu ini untuk melakukan proses ‘realignment’ dan membaik pulih termasuk terhadap institusi utama yang dikatakan mengalami kerosakan.

Namun bagi tahun ketiga, sewajarnya menjadi fasa untuk memasuki gear lebih tinggi dan seterusnya meningkatkan kadar pecutan. Tahun 2020, sepatutnya Malaysia menjadi negara maju namun usaha itu belum tercapai.

Namun sewajarnya ia menjadi satu tempoh untuk negara kembali pulih dan membuahkan hasil daripada pembaharuan yang dilakukan.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang diperkenalkan kerajaan, sewajarnya perlu bermula dari Belanjawan 2020.

Ia harus menampilkan pengagihan ekonomi lebih adil antara kawasan bandar dan bandar selain merapatkan jurang pendapatan ma­syarakat.

Masalah jurang pendapatan sebenarnya lebih serius di kawasan bandar. Usaha meningkatkan pendapatan rakyat harus menjadi fokus utama. Tanpa peningkatan pendapatan, rakyat terutama golongan B40 akan terus terperangkap dalam kepompong kemiskinan.

Dengan sekadar mengharapkan kenaikan gaji, kedudukan golongan tersebut mungkin tidak dapat diubah secara menyeluruh.

Sebaliknya kerajaan perlu meneliti program-program yang mampu memberikan memberikan pelepasan dari segi bebanan ekonomi terhadap golongan terbabit seperti pengangkutan awam percuma diperluaskan.

Pendidikan percuma juga perlu difikirkan dengan serius.

Ini termasuk dasar kawalan harga barang dipertingkat dan mekanisme pemberian subsidi yang lebih berkesan terutamanya kepada masyarakat tani dan desa.

Tahap produktiviti rakyat perlu dipertingkatkan melalui skim latihan membabitkan pelbagai jenis kemahiran yang diperlukan.

Dalam pada itu, dengan keadaan situasi politik dunia yang tidak menentu, negara ini juga perlu memastikan tempias pergolakan geopolitik tidak menjejaskan wawasan kemakmuran bersama itu.

CATEGORIES