Berita

Operasi berkala selamatkan gelandangan

235 gelandangan diberi peluang untuk bekerja dalam sektor perkilangan, pembuatan, makanan, peruncitan dan perkhidmatan melalui Program Penempatan Pekerjaan. JALALUDDIN melawat kawasan sekitar ibu negara yang menjadi lokasi gelandangan.
- Diterbit 24 September 2021 4:00 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menjalankan operasi menyelamatkan gelandangan secara berkala bagi membasmi aktiviti tersebut di ibu kota.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, berikutan masalah ekonomi yang berlaku akibat COVID-19, KWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berkolaborasi dengan beberapa agensi lain bagi menyelamatkan golongan tersebut sekali gus membantu golongan tersebut menikmati hidup yang lebih baik.

“Pandemik COVID-19 telah meninggalkan kesan yang besar dalam ekonomi dan ini dijangka akan menyumbang kepada pertambahan golongan ini di ibu kota.

“Walaupun sektor ekonomi baru hendak pulih dan proses pembukaan premis niaga akan dimulakan secara berfasa, ia belum dapat membantu untuk mengurangkan jumlah golongan ini,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Menyelamat Gelandangan di sekitar Kuala Lumpur 4.0.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KWP, Noor Shah Mohamed.

Operasi tersebut turut disertai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (APM WPKL).

Jalaluddin berkata, usaha untuk membendung masalah ini akan sentiasa dijalankan meskipun berhadapan kekangan tertentu yang melibatkan isu perundangan.

“Kita tidak boleh menghalang mereka berada di sekitar Kuala Lumpur dan melebihi waktu-waktu tertentu, dan mengikut akta tertentu maka mereka boleh disoal siasat.

“Melalui operasi, kita boleh kunjungi dan bertanya mengenai sebab sebenar mereka berada di kawasan awam yang melepasi waktu-waktu tertentu,” katanya.

Jalaluddin berkata, pihaknya tidak dapat memberi jaminan bahawa 100 peratus gelandangan yang diselamatkan ini tidak akan kembali ke kehidupan lama mereka yang gemar menjadikan jalanan sebagai tempat tinggal.

“Saya sedang lihat kerana ada kes yang berulang merupakan satu perkara biasa dan inilah perkara yang akan difikirkan bagaimana untuk kita urus perkara ini.

“Saya juga sudah berbincang dengan KWP dan Datuk Bandar untuk berkolaborasi dengan semua agensi ini bagi mengambil dan juga merangka pelan jangka panjang bagi golongan ini sekali gus memberikan kehidupan baharu kepada mereka (gelandangan),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin turut menegur sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang melanggar peraturan DBKL dengan memberi makanan kepada gelandangan serta komuniti jalanan tanpa menggunakan premis milik DBKL namun dalam masa sama tidak menafikan peranan yang dimainkan mereka dalam memberikan khidmat dan juga bantuan kepada golongan tersebut.

“Tetapi masalah yang kita hadapi adalah tindakan menghantar makanan ke kawasan-kawasan tempat tinggal gelandangan di sekitar Kuala Lumpur ini telah mendatangkan kesan sampingan dan menjadikan Kuala Lumpur kotor.

“Malah ia turut menggalakkan mereka berada di tempat yang tidak dibenarkan dan yang paling utama, tindakan tersebut boleh mencetuskan wabak penyakit yang boleh menjangkiti orang ramai,” katanya.

Tambahnya, NGO yang terlibat perlu mengubah modus operandi mereka dengan menghantar bantuan makanan tersebut ke pusat-pusat yang disediakan oleh DBKL di Pusat Gelandangan Medan Tuanku dan Anjung Singgah di Jalan Pahang.

Dalam operasi yang bermula pukul 11 malam itu, kira-kira 55 gelandangan berjaya diselamatkan dan dihantar ke Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku bagi tujuan saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Pusat Transformasi Gelandangan (PTG) Anjung Kelana, Taman Desa. Operasi kemudian berakhir menjelang pukul lima pagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas