Berita

Op Tegas diteruskan buru peniaga warga asing

- Diterbit 10 Oktober 2019 7:30 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sepanjang Januari hingga Ogos lalu, sebanyak dua siri Operasi Tegas telah diadakan di Pasar Borong Selayang di sini dengan 60 tindakan sita barangan perniagaan penjaja warga asing di samping seramai 30 orang warga asing telah ditangkap untuk tindakan Jabatan Imigresen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, operasi yang dibentuk melalui Task Force melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu adalah bagi mengatasi masalah kebanjiran peniaga warga asing di pasar borong berkenaan.

Katanya, Operasi Tegas merupakan tindakan bersepadu ke atas penjaja warga asing bersama-sama dengan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, agensi yang turut terlibat ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Luar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Keselamatan Negara, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan jabatan-jabatan dalaman DBKL.

”Isu utama yang dilihat semasa pemantauan pihak penguatkuasa adalah seperti kebanjiran warga asing tanpa dokumen sah yang bekerja dan me­nguasai perniagaan.

“Selain itu, pemegang kad UNHCR yang menjalankan aktiviti perniagaan serta keadaan lalu lintas yang sesak dan tidak teratur disebabkan kewujudan peniaga haram warga asing,” kata­nya ketika menjawab soalan lisan MP Prabakaran (HARAPAN-Batu) pada sidang Dewan Rakyat di sini baru-baru ini.

Khalid menyatakan, operasi ber­sepadu ini dilihat membantu dalam mengurangkan masalah kebanjiran warga asing dengan tangkapan yang dilakukan ke atas majikan dan pekerja warga asing tanpa permit.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas