Berita

Infitah Natasha berani, mudah bergaul

- Diterbit 10 Oktober 2019 7:36 AM MYT

ACAP kali kedengaran bahawa golongan graduan sukar untuk mendapat pekerjaan yang dikehendaki. Sememangnya terdapat pelbagai faktor seseorang itu tidak mendapat pekerjaan.

Namun antara salah satunya adalah disebabkan kurang kemahiran insaniah dalam diri seseorang.

Bagi Infitah Natasha Binti Mohd. Faisal, 21, penuntut tahun kedua Jurusan Syariah dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), graduan perlu bersaing kerana maji­kan lebih cenderung memilih pekerja berdasarkan kemahiran insaniah yang dimiliki.

“Bagi saya persiapkanlah diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan atau lebih tepat lagi persiapkanlah diri semasa zaman belajar di universiti.

“Universiti merupakan tempat yang terbaik untuk membina softskill dalam diri,’’ katanya kepada Wilayahku.

Gadis jelita kelahiran Johor Bahru ini turut mempunyai kemahiran dalam bidang pengacaraan apabila menjadi hos The Gemilang Awards 2018, Fiesta Rumah Terbuka Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Festival Konvokesyen UM dan program-program industrial talk di Jabatan Syariah dan Ekonomi.

Infitah Natasha juga bergiat aktif dalam persatuan anak negeri dengan memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Johor UM.

Hasil kecemerlangannya, dia menerima Anugerah Khidmat Gemilang (2019) dan Anugerah Seni Harapan (2018) di dalam The Gemilang Awards.
Akui Infitah Natasha, dia merupakan seorang yang pemberani dan mudah bergaul.

“Dari zaman sekolah lagi, saya telah melatih diri untuk menjadi seorang yang berani ke hadapan. Jika ada pertandingan yang memerlukan peserta untuk berdepan dengan penonton di atas pentas, saya akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut,’’ kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru ini.

Kadang-kadang katanya, ada juga perasaan gementar tetapi dia menepisnya dan sentiasa mencari peluang bagi mengembangkan kemahiran insaniah diri.

“Saya berpegang kepada peribahasa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih,’’ katanya yang juga calon Parlimen Belia Malaysia.

Infitah Natasha juga aktif dalam aktiviti kesukarelawanan anjuran Kaseh4u bagi mendekati anak-anak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam dengan mengajar tuisyen kepada mereka pada hujung minggu.

“Kesemua aktiviti ini mendidik erti bersyukur atas peluang yang saya miliki dalam hidup.

“Dengan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan seseorang itu dapat membina sifat ihsan dan ikhlas. Ia juga mendidik kita tentang tanggungjawab sosial,’’ katanya yang merupakan anak seorang peniaga.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas