Berita

JL 99 beri sumbangan kepada keluarga Ahmad Zaini

FAIRUZ Iskandar (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan sumbangan kepada Ahmad Zaini sekeluarga di 99 Wonderland Park, Selayang baru-baru ini.
- Diterbit 10 Oktober 2019 7:59 AM MYT

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib yang menimpa Ahmad Zaini Mohd. Zainuddin, 39, bersama keluarga­nya yang terpaksa keluar dari bilik sewa mereka di Klang, Selangor, sebuah syarikat pemaju hartanah, Kumpulan JL 99 Berhad menyumbang sebanyak RM10,000 lelaki terbabit.

Menurut Pengurus 99 Wonderland Park, Fairul Iskandar Faizil De Souza, pihak Kumpulan JL 99 menerusi 99 Wonderland Park menya­lurkan sumbangan tersebut kepada keluarga Ahmad Zaini ekoran kisahnya yang tular di sebuah akhbar tempatan.

“Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee telah membaca mengenai nasib keluarga Ahmad Zaini dan beliau amat tersentuh hati mengenai kisah tersebut.

“Oleh kerana isteri Ahmad Zaini sedang mengandung enam bulan dan mereka terpaksa bermalam di dalam kereta di pekarangan Stadium Pandamaran Klang, maka beliau (BK Lee) mengambil keputusan untuk membantu keluarga ini,” katanya kepada Wilayahku selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di 99 Wonderland Park, Selayang di sini baru-baru ini.

Kata Fairul Iskandar, sumbangan itu bagi membolehkan Ahmad Zaini membeli peralatan seperti tilam dan bantal untuk memulakan kehidupan kembali.

“Sumbangan itu juga untuk kegunaan peribadi mereka dan diharap ia dapat digunakan dengan berhemat,’’ katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, pengalaman terpaksa menjalani kehidupan dalam kenderaan bersama dengan isteri dan anak-anak seramai empat orang selama 10 hari tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Masalah yang berlaku adalah kerana saya menegur anak tuan rumah yang memikat anak perempuan saya yang baru berusia 14 tahun dan mereka telah dilihat ke­luar bersama.

“Berikutan itu, hubungan keluarga saya dengan tuan rumah menjadi tegang dan saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah itu bagi mengelakkan masalah lain timbul,” katanya yang bekerja sebagai pembantu gudang pakaian terpakai.

Kata Ahmad Zaini lagi, dia dan isterinya, Noresah Mohammad, 38, terkejut apabila dihubungi pihak 99 Wonderland Park untuk menerima sumbangan.

“Saya amat berterima kasih kepada pengurusan Wonderland Park kerana memberi­kan sumbangan ini. Saya akan pastikan anak-anak saya bersekolah semula dan kehidupan mereka terbela selepas ini,’’ katanya.

Pasangan itu yang mempunyai lima anak iaitu tiga perempuan antara 18 hingga 11 tahun dan dua anak lelaki masing-masing tujuh dan dua tahun kini menyewa rumah di Klang yang ditanggung pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas