Disiplin tinggi patuh SOP perlu semasa aktiviti imarah masjid, surau – Zulkifli
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) bersama Ketua Aktivis Kemanusiaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby Alkahery (kiri) pada majlis pelepasan konvoi misi bantuan ihsan MAPIM ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian di pekarangan Kompleks Islam Putrajaya. Kredit foto: Bernama

Disiplin tinggi patuh SOP perlu semasa aktiviti imarah masjid, surau – Zulkifli

HAD jemaah bagi solat Jumaat, fardu dan Aidiladha yang akan berkuat kuasa esok perlu dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat agar penularan COVID-19 dapat dicegah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Ia juga menggambarkan disiplin umat Islam di negara ini dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri sekali gus mengimarahkan semula masjid,” katanya selepas pelepasan konvoi misi bantuan ihsan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu di sini.

Misi berkenaan melibatkan pengagihan  1,000 kotak barang keperluan harian bernilai RM250,000 kepada keluarga yang terjejas di dua pulau berkenaan yang hilang mata pencarian ekoran penutupan sektor pelancongan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengeluarkan ketetapan baharu pembukaan masjid dan surau semasa Fasa Pertama Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Ngera (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi tiga Wilayah Persekutuan (WP) iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Antara ketetapan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu adalah membenarkan 300 jemaah menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha manakala 100 jemaah dibenarkan bagi solat fardu bagi masjid di tiga WP di kawasan PKP.

Bagi masjid dan surau di kawasan PKPD pula, hanya tiga jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat yang digantikan dengan solat Zohor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai bantuan yang diperlukan 700 keluarga di kedua-dua pulau berkenaan yang hilang mata pencarian ekoran penutupan sektor pelancongan sejak PKP tahun lepas.

Katanya, misi disertai 12 tenaga kerja yang ditugaskan untuk mengagihkan 1,000 kotak barang keperluan harian bernilai RM250,000 kepada semua keluarga yang terjejas. — BERNAMA

 

CATEGORIES