Berita

Ombak rindu Tan Sri P. Ramlee

P.RAMLEE
SALAH satu ruang yang menempatkan biografi dan karya-karya P.Ramlee.
- Diterbit 20 September 2019 4:34 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

WALAUPUN Seniman Tan Sri P. Ramlee telah hampir setengah abad meninggalkan dunia ini, karyanya masih lagi diminati semua lapisan masyarakat, dari orang tua sehingga anak-anak kecil.

Karya yang diwarisinya itu sarat dengan pengajaran, malah unsur humor yang diterapkan di dalam setiap ‘buah tangannya’ itu menjadi wajib tonton bagi rakyat Malaysia. Malah sehingga kini watak-watak yang wujud dalam karya seniman agung ini terus mekar dan menghijau di dalam jiwa peminatnya.

Justeru, kenangan bersama seniman sepanjang zaman itu, Pustaka Peringatan P. Ramlee atau turut dikenali sebagai Memorial P. Ramlee merupakan sebuah destinasi yang wajib dilawati peminat seniman yang telah banyak menyumbang kepada industri hiburan negara pada suatu ketika dulu.

Berkeluasan 7,200 kaki persegi, rumah ini adalah tanda perghargaan kepada P. Ramlee yang diberikan oleh Shaw Brothers, sebuah syarikat penerbitan filem yang sering menerbitkan karya seniman agung ini.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam industri perfileman atau sebarang bentuk kesenian, di sini, anda boleh mendapatkan pembakar semangat dan inspirasi serta merasai sendiri ruang peribadi yang digunakan P.Ramlee untuk menghasilkan karyanya.

Namun paling mencuri tumpuan adalah ruang makan yang turut menempatkan piano kesayangannya. Berbanding ruang lain yang menjalani 90 peratus pengubahsuaian, ruang itu mengekalkan susun atur, perabot dan kelengkapan asal bagi memberi gambaran gaya hidup sebenar seniman itu bersama keluarganya.

Piano yang digunakan untuk menggubah dan mencipta lagu yang hingga kini menjadi siulan peminatnya masih utuh di tengah-tengah memorial tersebut. Diceritakan, P.Ramlee menggunakan piano buatan Eropah itu untuk menggubah lagu terakhir untuk isterinya, Puan Sri Saloma, Air Mata Di Kuala Lumpur, sebelum beliau meninggal dunia pada 1973.

Bukan sekadar sebuah memorial, bangunan di mana pameran berkaitan P. Ramlee diadakan, sebenarnya ia adalah banglo yang pernah menjadi kediaman Allahyarham P. Ramlee sendiri sehinggalah pemergian beliau.

Bahan-bahan yang dipamerkan di memorial ini adalah sama ada barangan peribadi, termasuk kereta, piano atau persalinan yang digayakan untuk filem lakonan dan arahannya. Semuanya menjadikan Pustaka Peringatan P Ramlee sebagai galeri khazanah bersejarah.

Menyingkap sejarah penubuhan memorial peringatan itu, ia direalisasikan sebagai simbolik mengenang ketokohan seniman serba boleh itu. Pustaka Peringatan P Ramlee dibuka secara rasminya pada 22 Mac 1986 di bawah kelolaan Arkib Negara Malaysia, kira-kira 13 tahun selepas P. Ramlee meninggal dunia.

Turut dipamerkan di memorial ini adalah nota muzik, surat, keratan akhbar, skrip dan poskad yang dikirimkan kepada keluarga, terutama untuk Saloma. Selain pameran koleksi, pengunjung juga dihiburkan lagu nyanyian P Ramlee dan Saloma sebagai halwa telinga, selain petikan dialog P Ramlee dalam filem yang dibintanginya.

Antara matlamat awal lain penubuhannya adalah menggalakkan kajian dan penyelidikan dalam aspek seni dan budaya Melayu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas