Berita

AR Badul masih menanti SOP

AR Badul
BADUL sayu ketika berkongsi kisah arwah anaknya.
- Diterbit 20 September 2019 4:16 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan insiden kematian seorang Mejar Komando Kem Sungai Udang Mejar Mohd. Zahir Armaya, 36, akibat tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah.

Insiden berdarah tersebut menjadi tumpuan seluruh negara lebih-lebih lagi mangsa yang bertugas di pasukan 11 Rejimen Gerak Khas tersebut merupakan anak kepada pelakon lagenda yang tidak asing lagi, AR Badul.

Kehilangannya bukan sahaja dirasai oleh negara bahkan masih ditangisi oleh bapanya itu. Sungguh pun reda dengan ketentuan Ilahi namun dia dan seluruh ahli keluarga sehingga saat ini masih menanti Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada pihak terbabit.

“Kita sedia maklum kerja-kerja berisiko tinggi mengancam nyawa penjawat awam seperti ini punya SOP. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi gambaran serta jawapan yang lebih jelas terhadap apa yang berlaku.

“Mungkin apabila kami sebagai keluarga melihat SOP tersebut, hati kami akan lebih tenang untuk menerima kenyataan yang amat berat ini. Harap semua memahami, kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba merupakan satu tamparan yang sangat hebat,” ungkapnya sayu.

Pun begitu, katanya lagi, setakat ini dia dan seluruh ahli keluarga masih lagi setia menanti hasil siasatan yang menyeluruh tentang insiden yang menyedihkan itu.

Menceritakan kembali detikdetik ketika menerima perkhabaran duka tersebut, menurut Badul ketika mendapat panggilan telefon, dia seperti berada di awang-awangan kerana berfikir faktor yang menyebabkan kematian anaknya itu.

“Sejujurnya saya faham sebagai seorang komando memang tugas mereka adalah untuk menghadapi maut. Mereka terlibat dalam perang, rusuhan dan sebagainya. Malah ketika latihan sekalipun mereka terdedah kepada bahaya.

“Cuma ketika itu, fikiran saya berpusing mencari penyebab kematian tersebut adakah ia terjadi ketika dia cuba meleraikan demonstrasi tunjuk perasaan atau diserang oleh pihak musuh dan sebagainya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Kongsi Badul lagi, arwah anaknya itu agak beruntung kerana kehilangannya mendapat perhatian yang meluas dan ramai yang menyanjunginya. Malah sebagai bapa dia terharu pihak tentera sendiri mengurus jenazah dengan baik sekali.

Hubungan rapat

Biarpun arwah tidak tinggal bersamanya namun hubungannya dengan anak ketiga hasil perkahwinan keduanya bersama bekas isteri, Rusunjan Mohammad, 57, rapat dan mereka sering berjumpa jika ada kelapangan.

“Kami boleh diibaratkan seperti adik-beradik. Bercerita tentang topik apa sahaja ketika berjumpa. Keperibadiannya yang ringkas membuatkan kami senang berinteraksi antara satu sama lain dan bertukar fikiran.

“Ketika bujang, dia ada berkongsi hasratnya untuk berkahwin malah ketika diterima sebagai seorang komando, saya turut menemaninya ketika tamat kursus dan berjaya menerima beret,” ujarnya.

Ceritanya lagi, kali terakhir dia bertemu anaknya itu ketika arwah melawatnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada Februari lalu. Ketika itu mereka sempat berbual seketika dan arwah berpesan kepadanya agar menjaga kesihatan.

“Dia seorang anak yang baik dan patuh kepada orang tua. Tidak hairanlah sikapnya itu membuatkan dia disayangi oleh semua orang. Kehilangannya begitu terkesan di hati saya,” ujarnya mengakhiri bicara.

Sebagai rekod, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nour Shafinar Harun dan tiga orang cahaya mata.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas