Berita

Kemegahan resipi ciptaan Step’s Recipe

Step's Recipe
GORDON Blue With Thousand Island Sauce.
- Diterbit 20 September 2019 4:50 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

MASAKAN ala Barat sering menjadi pilihan orang ramai yang mahukan kelainan ketika berkunjung ke kedai makan. Lebih menarik, hidangan Barat ini diberikan sentuhan cita rasa tempatan bagi memenuhi selera orang ramai. Keenakan masakannya bertambah memikat dengan gabungan sos yang menyelerakan seperti lada hitam, cendawan dan berbeku.

Justeru bagi menampilkan kelainan, Gerai Steps Recipe yang terletak di Medan Selera Labuan memperkenalkan rasa asli ciptaan tersendiri.

Direka oleh cef berpengalaman, menu yang dihidangkan di situ pastinya mampu menandingi restoran-restoran mewah yang lain.

Menurut pengusahanya, Mohd. Rezoul Masri, 25, yang juga seorang cef, kebanyakan hidangan yang disajikan di gerainya merupakan rekaan tersendiri hasil kajian yang dilakukan berdasarkan menu-menu asal makanan Barat.

“Saya pernah bekerja sebagai cef di Hotel Billion Waterfront Labuan selama tiga tahun. Di situ, saya mengumpul pengalaman dan mendapatkan maklum balas daripada pelanggan.

“Bagi mencapai cita-cita membuka kedai makan, saya mengambil keputusan berhenti kerja. Pada masa sama, saya mencipta beberapa resepi baharu berasaskan masakan Barat.

“Antara resepi berkenaan adalah Homemade Burger Black Pepper, Homemade Crispy Chicken Burger dan Homemade Black Pepper Beef Burger. Hidangan ini mengikut cita rasa penduduk setempat tetapi masih mengekalkan keaslian rasa Barat,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mohd. Rezoul yang lebih dikenali sebagai Chef Zul memberitahu, gerai yang baru dibuka itu merupakan idea dan ilham daripada bapa saudaranya, Michael Andin.

Katanya, selepas mengambil kira pelbagai perkara, dia nekad berhenti kerja dan membuka gerai enam bulan lalu.

Perancangan

Melihat sahaja menu Black Pepper Lamb Chop With Butter Rice, pengunjung pastinya terliur dan tidak sabar untuk merasakan keenakannya. Disaji pula bersama Shakes Vanila ataupun Oreo Ice Blended yang menampilkan rasa lemak dan berkrim. Kedua-kedua padanan menu itu sentiasa menjadi pilihan pengunjung selain Grill Salmon Tomato Concasse Sause dan Gordon Blue With Thousand Island Sauce.

Walaupun baru mula menapak, Steps Recipe mampu bertanding seiring restoran ternama yang lain. Malah harga yang ditawarkan juga murah serta berpatutan.

Mempunyai lebih 20 hidangan termasuk set bujang dan set burger, gerai kecil ini mahu melebarkan sayapnya dengan menyediakan set keluarga pada masa hadapan di samping menambah beberapa lagi menu ciptaan tersendiri.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas