Berita

OKU bukan penghalang ke garisan penamat

CHRIS (tengah) bergambar bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad (kanan) selepas berjaya menamatkan KLSCM 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 7:30 AM MYT

KUALA LUMPUR – Tiada yang menyangka di sebalik status­nya sebagai orang kurang upaya (OKU), pe­muda berasal dari Alberta, Kanada, Chris Koch, mampu menamatkan acara Kuala Lumpur Standard Chartered Mara­thon (KLSCM) 2019 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Berjaya menamatkan larian 42 kilometer dengan catatan masa 5 jam 27 minit, Chris kemudiannya memuat naik status di Facebook miliknya dan menceritakan pengalaman larian yang dilalui bersama dua lagi rakannya, iaitu Trina dan Ty.

Perkongsiannya itu menjadi motivasi kepada orang ramai terutamanya golongan sempurna.

“Biarpun ia adalah larian yang paling perlahan namun tetap memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Kami memulakan larian pada pukul 3.45 pagi dalam suasana yang menenangkan dengan suhu 26 darjah Celsius.

“Atas alasan keselamatan untuk mengelakkan dirempuh, saya terpaksa berada di garisan paling belakang. Bayangkan dengan 40, 000 orang pelari lain, agak sukar untuk saya mengatasi mereka.

Namun saya bersyukur kerana akhirnya dapat menyeberangi garisan penamat,” ujarnya.

Ungkapnya lagi, apa yang menjadikan larian ini begitu hebat adalah sikap pelari lain yang ringan tulang untuk membantu serta menyokong yang lain terutama dirinya sepanjang acara tersebut berlangsung.

“Setiap larian yang pernah saya sertai membawa pengalaman yang berbeza namun di Kuala Lumpur ia sungguh hebat kerana sikap masyarakat itu sendiri.

Saya berharap agar lebih banyak lagi acara larian diadakan di Asia dan sudah pasti saya akan kembali menyertai larian di Kuala Lumpur lagi,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas