Berita

Lantun mesej kasih sayang

ALI XPDC berdakwah melalui lagu.
- Diterbit 4 Oktober 2019 9:22 AM MYT

KONSERT Rahmah 2019 berjaya membawa mesej keamanan serta keharmonian kepada penonton yang mana ia amat diperlukan dalam masyarakat pada masa kini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Berlangsung di Dataran Perbadanan Putrajaya (PPj), konsert yang diadakan bersempena dengan Karnival Rahmah 2019 itu penuh dengan mesej kasih sayang, persaudaraan serta keharmonian hidup bermasyarakat.

Menghimpunkan lebih 10,000 penonton, ia berhasil menarik perhatian ramai di samping mengubat kerinduan peminat terhadap irama lagu ketuhanan serta lantunan lagu-lagu balada yang sentiasa malar segar.

Menampilkan artis-artis tersohor tanah air seperti Ali XPDC, Datuk Ramli Sarip, Datuk David Arumugam, Aishah, Caliph Buskers dan ramai lagi.

Konsert Rahmah 2019 itu juga berupaya menjadi medan penyatuan penonton berbilang kaum. Dimulakan dengan persembahan sketsa masyarakat, konsert mega yang dihoskan oleh dua personaliti TV Al Hijrah, Farah Diana Mohd Anuar dan Luqman Hakim kemudian menampilkan penghibur lagenda tanah air, Datuk David Arumugam dari kumpulan Alleycats.

Mempersembahkan lagu-lagu popular yang pernah menaikkan kumpulan Alleycats di persada seni suatu ketika dahulu seperti Andainya Aku Pergi Dahulu, Hingga Akhir Nanti.

Rata-rata penonton yang hadir terpegun dengan lantunan vokal penyanyi tersebut yang masih kekal mantap.

Suasana malam yang indah seakan turut sama terhibur dengan persembahan penyanyi kumpulan rock tanah air iaitu Ali XPDC yang sudah
berhijrah serta penyanyi baharu yang sedang mencipta nama, Wani
Syaz.

Diselang seli dengan keletah pengacara yang mencuit hati, kemuncak konsert menyaksikan kumpulan Caliph Buskers mendendangkan lagu popularnya Hanya Nama Mu dan Buta pada malam tersebut.

Teruja dengan sambutan yang diterima, kumpulan muzik orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan itu sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberinya peluang untuk menghiburkan
peminat.

Dakwah

Sungguhpun diuji dengan sindiran segelintir pihak-pihak yang tidak selesa dengan usaha dakwah yang dijalankan olehnya namun ia tidak pernah mematahkan semangat Ali XPDC untuk terus berada di landasan yang benar.

Sejak berhijrah beberapa tahun yang lalu, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 50, rancak berdakwah melalui muzik dengan memperjuangkan konsep ketuhanan dan Islamik. Malah dia masih mengekalkan genre heavy metal.

“Islam membenarkan berhibur selagi mana lagu dan muzik tersebut
patuh dan mengikut kehendak syariat yang sebenar. Kebanyakan lirik lagu-lagu saya kini juga kebanyakannya telah ditukar dengan mengagungkan Tuhan bukan manusia,” ujarnya.

Tambah penyanyi rock yang terkenal dengan lagu Bunga Angkasa itu lagi, apa yang dilakukan adalah bergantung pada niat dakwah semata-mata pasti jalan yang dilalui akan sentiasa mudah.

“Selain untuk mengingatkan diri sendiri, kita juga mesti berusaha untuk menarik penonton agar mengingati Allah,” ujarnya yang bakal mengadakan konsert di Sandakan, Sabah pada awal November
ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas