Berita

Amirul harungi cabaran getir

AMIRUL (tengah, depan) bersama rakan sepasukannya meraikan kejayaan muncul juara Putrajaya Boat Race 2019 di Tasik Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 7:25 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

MUNGKIN sukan mendayung belum po­pular di Malaysia, namun di mata dunia sukan ini merupakan antara yang tertua dalam sejarah manusia iaitu sejak zaman Greek purba lagi.

Kerana itu tidak hairanlah ia telah lama mendapat tempat di temasya sukan berprestij dunia.

Hari ini di Malaysia, ia telah menjadi satu kegiatan sukan yang semakin digemari dan melahirkan ramai atlet pendayung yang hebat.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kejohanan besar yang dianjurkan, antara­nya Putrajaya Boat Race 2019 yang berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.

Menyedari masa hadapan yang cerah dalam sukan tersebut, atlet pendayung Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Amirul Arief Mahmud, 23, menjadikan sukan tersebut sebagai pilihan yang tepat buat diri­nya.

Biarpun baru bergiat aktif dengan sukan tersebut sejak Julai lalu, siapa sangka rezeki berpihak kepadan pasukan­nya selepas berjaya menewaskan Universiti Malaya bagi Kategori Universiti (lelaki) dalam kejohanan Putrajaya Boat Race 2019.

“Ini merupakan kali kedua kami menyertai kejohanan dan tidak sangka ia berpihak kepada pasukan kami. Ter­nyata kerjasama dan sikap bantu-membantu antara satu sama lain merupakan salah satu penyumbang kepada kemenangan ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut tentang kejuaraan pasukan mereka, kata­nya, selaku kapten pasukan, dia sedaya upaya mengingatkan anak buahnya agar peka dengan tugas ma­sing-masing bagi membolehkan perahu ber­gerak lancar.

“Setiap orang mempu­nyai posisi masing-masing. Sebagai contoh pengemudi perlu mengemudi perahu supaya pergerakannya lebih licin. Selain itu, saya juga perlu memastikan perahu kami bergerak secara berirama.

“Mungkin orang nampak sukan mendayung ini mudah namun sebenarnya ia sukar kerana pendayung perlu memastikan perahu berada pada tahap seimbang. Untuk pengetahuan, keseimbangan memerlukan latihan yang lama dan konsisten,” katanya.

Berkongsi kisah ketika perlumbaan tersebut, menurut pelajar jurusan Ijazah Seni Bina Landskap ini, mereka berdepan dengan cabaran getir apabila salah satu besi pemegang pendayung tercabut.

“Pada jarak 500 meter yang terakhir, besi tersebut tercabut di posisi pendayung nombor lima, saya terpaksa memintanya berdiam supaya perahu kami seimbang sekali­gus membolehkan saya dan pendayung lain mengerah tenaga untuk menggantikan kekurangan.

“Mujurlah kami tidak cepat gelabah kerana belajar daripada pengalaman ketika menyertai Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019 yang berlangsung di Bukit Merah, Perak pada Ogos lalu,” ujarnya.

Tambah Amirul lagi, dia bangga dapat mengharum­kan nama UPM pada Putrajaya Boat Race 2019 baru­-baru ini apabila berjaya menewaskan pasukan lawan dengan perbezaan masa kira-kira lima minit.

Sokongan padu

Mengimbas kembali detik-detik mula melibatkan diri dalam sukan mendayung, menurut anak bongsu dari­pada tujuh orang adik-beradik ini, dia teruja untuk turut serta dalam sukan tersebut ketika melihat iklan pencarian atlet di kampus.

“Apabila terbaca iklan, saya turut mengajak rakan-rakan untuk mencuba nasib. Ternyata apabila mula mengikuti kursus serta sesi pengenalan terhadap sukan ini, saya mula jatuh hati dan tekad untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.

Katanya lagi, hanya mereka yang benar-benar sukakan cabaran mampu meneruskan perjuangan dalam sukan mendayung kerana tidak ramai yang tahan mampu mendayung di bawah panahan terik mentari.

“Saya bersyukur kerana keluarga menjadi pendorong utama dan tidak putus-putus memberikan semangat.

“Saya juga cukup terhutang budi ke­rana pihak univer­siti begitu mengambil berat tentang pasukan ini. Mereka sentiasa memastikan kebajikan kami terjaga sama ada dari segi pemakanan, fasiliti atau lain-lain,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas