Berita

Perbadanan Labuan teruskan agenda pembangunan mampan

- Diterbit 29 Januari 2021 4:33 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) akan meneruskan kelestarian pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan dengan pelan strategik pembangunan ekonomi jangka panjang.

Selari dengan tempoh 37 tahun Labuan dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan sejak 1984 bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya, pembangunan mampan kini menjadi fokus kepada agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman dalam temu ramah khas sempena Hari Wilayah Persekutuan ke-37 yang akan disambut pada 1 Feb ini berkata Labuan telah mula menikmati pembangunan pada awal tempoh pengiktirafannya sebagai Wilayah Persekutuan.

“Ini dapat dilihat dengan pembinaan Terminal Feri Antarabangsa untuk menerima pengunjung dari Sabah, Sarawak dan negara jiran Brunei, juga pembinaan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa untuk penganjuran sukan tahunan cabaran laut antarabangsa.

“Begitu juga dengan pembinaan Arena Lawn Bowl Antarabangsa yang banyak mencungkil bakat atlet Labuan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Fary berkata pelan strategik pembangunan Labuan akan diteruskan meskipun dalam skala perlahan berikutan pandemik COVID-19, dan antara projek yang dilaksanakan tahun ini ialah pembinaan ‘siren/smart pole’ untuk perkongsian segera maklumat berkaitan cuaca, bencana alam dan lain-lain.

“Projek peringkat awal Labuan ke arah bandar pintar itu akan dilaksanakan di 13 kawasan di seluruh Labuan termasuk kawasan bandar di Menara Perbadanan Labuan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata projek naik taraf pembangunan pelancongan Hutan Paya Bakau Kina Benuwa akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, dengan pembinaan titian kayu untuk pengunjung menerokai hutan paya bakau tertua itu melalui peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, projek pembinaan kemudahan infrastruktur untuk pengunjung ke dua destinasi yang belum diterokai di Pulau Batu Larai-Larai dan Pulau Piasau-Piasau juga dalam perancangan pembinaan.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini akan diisi dengan program Wilayah Persekutuan Bermunajat yang diadakan di tiga Wilayah Persekutuan pada 30 Jan iaitu di dewan solat masjid utama masing-masing.

“Sesuai dengan tema ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’, Labuan diperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi program pengagihan bakul makanan kenduri rakyat bagi menggantikan program tahunan kenduri rakyat,” katanya.

Program lain seperti Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, Program Pencahayaan dan Pameran Digital Wilayah Persekutuan serta Program CSR Hari Wilayah Persekutuan Frontliners Bersama Rakyat juga akan diadakan.

“Warga Labuan dialu-alukan meraikan sambutan ini secara kreatif dengan berkongsi gambar serta video menerusi media sosial dengan meletakkan tanda pagar #wilayahpersekutuanwilayahprihatin dan #kibarbenderawp. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas