Berita

Keramahan, sumbangan ceriakan kanak-kanak di Hospital Putrajaya

ZAITUN beramah mesra dengan ibu pesakit semasa program CSR baru-baru ini.
- Diterbit 21 Februari 2020 5:20 AM MYT

KECERIAAN wajah kanak-kanak yang dirawat di Wad Pediatrik Hospital Putrajaya jelas terpancar apabila isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaitun Abu Bakar memasuki bilik mereka.

Beliau yang ditemani isteri Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datin Murni Muda dan isteri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Suhaila Sukri@Mohd. Salleh meluangkan masa selama satu jam bagi beramah mesra dengan pesakit dan keluarga.

Lebih mengujakan kira-kira 50 pesakit di situ, apabila mereka turut menerima sumbangan berbentuk hamper yang disediakan sempena Program CSR Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020).

Menurut salah seorang pesakit, K. Gunanandini, 14, kehadiran pelawat amat menceriakan dirinya yang sudah sebulan berada di dalam wad.

“Saya tidak tahu bila boleh pulang kerana mengidap kencing manis sejak kecil. Saya dimasukkan ke hospital kerana pengsan di rumah,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Bagi bapa kepada Asyham Musa, 1, iaitu Arif Fahmi Adnan, 33, sumbangan yang diberikan amat bermakna kerana isterinya, Fatin Zaidah Mohd. Nasir, 31, dapat mengalas perut sementara menunggu kehadirannya setiap hari.

“Isteri bekerja sebagai guru dan dia terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak. Sementara menunggu saya pulang dari kerja, dia dapat mengalas perut kerana tidak dapat tinggalkan anak untuk membeli makanan,” katanya.

Bagi Sharifah Nur Adiani Tuan Ismail, 36, pula, sumbangan dan keramahan Zaitun membantu menceriakan dirinya juga yang perlu menjaga anaknya, Syed Ahmad Al-Fateh Syed Mohd. Anuar, 9 bulan.

Dalam pada itu, mengulas tentang program berkenaan, Zaitun berkata, ia diadakan bagi meraikan kanak-kanak yang dirawat di hospital sekali gus menceriakan mereka yang sedang menerima rawatan.

“Program CSR SHWP 2020 di Hospital Putrajaya ini merupakan acara terakhir yang mana sebelum ini pihak YWP sudah menyumbangkan 100 hamper kepada pesakit di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dan 50 hamper di Hospital Labuan,” katanya sambil menambah program akan diteruskan dengan menambah bilangan penerima.

ZAITUN (tiga dari kanan) turut menyerahkan cenderahati kepada kakitangan di Wad Pediatrik Hospital Putrajaya.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas