Berita

5,000 penghuni Selangor, Malayan Mansion disaring

PETUGAS perubatan akan membuat saringan kesihatan ke atas penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion.
- Diterbit 7 April 2020 11:15 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 5,000 penghuni dua blok bangunan kediaman di Jalan Masjid India akan disaring selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan tempoh 10 hari akan digunakan untuk proses berkenaan.

“Setiap blok mempunyai 2,500 penghuni yang perlu disaring,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hari ini kerajaan memerintahkan PKPD di kawasan itu selepas 15 kes positif Covid-19 direkodkan.

Dua blok bangunan terbabit Malayan Mansion dan Selangor Mansion membabitkan flat kediaman lapan tingkat yang turut menempatkan premis perniagaan di bahagian bawah.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bahan uji mengesan Covid-19 dengan menggunakan Conventional RT-PCR hanya mampu bertahan seminggu.

Katanya, pembekal sudah diminta untuk mendapatkan bahan uji terbabit dalam tempoh secepatnya.

“Hanya bekalkan sebanyak 40 peratus sahaja. Stok sedia ada hanya mampu bertahan seminggu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas