Berita

NGO sokong usaha Dr Zaliha teruskan rancangan membangunkan penempatan

- Diterbit 12 Januari 2024 8:50 AM MYT

BADAN bukan kerajaan (NGO) berkaitan Kampong Bharu menyambut baik kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa untuk meneruskan rancangan dalam membangunkan penempatan itu sekali gus membuka peluang untuk memodenkan kawasan ikonik milik orang Melayu itu.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), Ar Ts Sri Nor Shamsul berkata kesediaan Zaliha untuk menyambung semula perancangan yang tertangguh wajar disokong semua pihak bagi melihat pembangunan semula itu dilaksanakan.

NOR SHAMSUL

Namun pada masa sama, Nor Shamsul menyarankan kepada pihak menteri dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan sasar tanpa perlu mengadakan sesi townhall.

“Saya rasa cadangan untuk menganjurkan sesi townhall ini terlalu drastik dikhuatiri beliau tidak mampu mengawal luahan masyarakat yang masing-masing hendak menunjukkan kehebatan walaupun matlamatnya adalah sama.

“Saya suka sekiranya pendekatan untuk melakukan engagement ini dilaksanakan secara kecil-kecilan dan lebih bersasar kerana kita telah pun mempunyai keputusan hasil daripada bancian yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Menjelas lanjut, Nor Shamsul semua pihak berkepentingan sudah tidak perlu untuk menganjurkan sesi penerangan pelan pembangunan untuk keempat atau kelima kerana penganjuran sebanyak tiga kali sebelum ini telah pun ditolak oleh penduduk.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS), Shamsuri Suradi berkata isu pembangunan itu telah berlanjutan sekian lama hanya boleh ditamatkan melalui keazaman politik (political will) semua pihak berkepentingan demi melihat penempatan orang Melayu itu dibangunkan.

SHAMSURI

“Isu (pembangunan) ini mula diperkatakan sejak 50 tahun lalu sebaik sahaja perisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan dan sejak dari itu, isu pembangunan ini sering disuarakan oleh menteri-menteri terlibat namun ia masih tidak berjaya,” katanya.

Ujar Shamsuri, pihak berkepentingan wajar menyelesaikan perkara itu sekali gus dapat merungkaikan masalah pemilikan tanah disebabkan isu berkaitan dokumentasi.

“Saya sarankan agar semua pihak dapat duduk semeja termasuklah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), PKB dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ia dibawa ke proses selanjutnya,” katanya.

Beliau yang juga generasi ketiga turut menyuarakan pendapat supaya sesi pendengaran awam yang dirancang hanya dibuat secara tersasar melibatkan kumpulan kecil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas