Berita

Pengeluaran makanan cara organik pelihara alam sekitar -Salahuddin

- Diterbit 20 Disember 2019 8:57 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

PUTRAJAYA- Pemuliharaan alam sekitar perlu diberi perhatian demi memastikan sumber makanan terus mampan dan terpelihara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beberapa negara Eropah termasuk Uzbekistan dan Bosnia Herzegovina perlu dijadikan contoh selepas mengambil langkah proaktif dalam usaha pemuliharaan dengan melaksanakan pengeluaran makanan secara organik.

“Kita juga boleh belajar banyak dari Qatar yang jauh lebih maju dalam hal berkaitan pertanian dan keselamatan makanan.

“Dengan pelbagai sekatan dan tekanan, Qatar masih boleh mengeluarkan produk mereka tanpa bergantung kepada negara luar,” katanya pada sesi pleno mengenai keselamatan makanan sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Turut serta Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Elyor Ganiev; Menteri Industri dan Perdagangan Qatar, Ali Ahmed Al Kuwari dan Pengarah Hubungan Antarabangsa The Fiqhi Council Australia, Ezziddin Abu Sardaneh.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, konsep ‘food unity’ boleh dijadikan fokus yang boleh dilaksanakan bagi memastikan keselamatan makanan terus mampan.

Menurutnya, konsep tersebut dilihat sebagai perkongsian kemakmuran yang perlu dilakukan sesama negara Islam demi manfaat bersama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas