Wawancara

Nasihat bapa jadi azimat untuk berkhidmat

- Diterbit 1 Mac 2024 3:52 PM MYT

MENJADI pemimpin dalam usia muda semestinya banyak cabaran yang perlu ditempuhi, isu kemiskinan bandar, isu sosial, masalah kemudahan awam dan isu perbandaran menjadi keutamaanya dalam memastikan rakyat dapat disantuni sebaik mungkin.

Namun anak kepada seniman terkenal, Allahyarham Harun Salim Bachik yang juga Ahli Dewan Negeri (DUN) Batu Tiga, Selangor, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid, 37, menyatakan kepada Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY bahawa beliau optimis dengan peluang yang diberikan serta pengalaman yang diraih sejak awal bergelumang dengan aktivismne sebelum ini telah memberikan panduan yang berguna dalam memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Bilakah mula berkecimpung di dalam politik?

Saya mula terlibat dalam politik sejak 2004 ketika melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi dan bergiat aktif dalam Gerakan siswa di sana dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga 2008. Apabila tamat pengajian pada 2008, saya kembali ke Shah Alam dan mula aktif dibelakang tabir pilihanraya 2008 sehingga menyaksikan kemenangan sulung gabuangan politik Pakatan Rakyat (PR) berjaya menguasai Selangor. Sejak dari itu saya mula telibat dalam program-program kerajaan negeri dalam membina keyakinan para pengundi yang memberikan kepercayaan kepada PR untuk memimpin Kerajaan Negeri Selangor.

Pada saat itu, saya langsung tidak pernah terlintas bahawa akan bertanding pilihanraya lebih-lebih lagi pada umur yang muda pada usia 37 tahun pada PRN 2023.

Sebagai YB yang mewakili kawasan bandar, apakah cabaran yang perlu tempuhi dalam tempoh lapan bulan sebagai Adun Batu Tiga?

Sudah tentu expectation pengundi sangatlah tinggi untuk dipenuhi. Saya pernah menjadi Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kawasan elit Seksyen 7, Shah Alam dan pernah berdepan dengan pelbagai cabaran di sana. Jadi kini di Dun Batu Tiga, saya tidak kekok memandangkan sudah ada pengalaman selain Shah Alam ialah tempat saya membesar sejak berpindah dari Wangsa Maju ke Shah Alam pada sekitar 1996.

Dengan pengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran, hubungan yang telah terbina dengan pegawai dan pentadbir MBSA memberikan saya sedikit kelebihan untuk mengatur masalah yang berlaku di Dun Batu Tiga.

Sebarang isu yang belaku, boleh diselesaikan dengan cepat melainkan memerlukan proses yang panjang contohnya seperti pembinaan laluan bertingkat untuk kawasan yang sesak.

Sebagai anak kepada seorang lagenda seni, Allahyarham Harun Salim Bachik mewarisi darah seni dari datuk apakah ada elemen-elemen seni di dalam diri YB?

Saya antara ramai anak Allahyarham yang kurang terlibat dalam industri seni sejak beliau terlibat sebagai seniman sejak tahun 90an. Mungkin kerana kurang minat untuk menonjolkan diri disebabkan ada sedikit sifat pemalu ketika masih kecil. Malah adik beradik yang lain pernah terlibat di belakang tabir seperti prop master, entertainment team dan lain-lain. Cuma saya secara naturalnya boleh bermain alat muzik walaupun hanya belajar sedikit bersama arwah ayah. Saya belajar bermain gitar dengan arwah dan beliau pernah membeli dua unit gitar untuk saya berlatih di rumah. Selanjutnya saya belajar bersama kawan-kawan ketika di asrama dan akhirnya pernah mempunyai band serta pernah menang pertandingan Talent Time semasa di matrikulasi dengan membawakan lagu OAG, 60’s TV. Saya pemain Bass ketika itu.

Sehingga kini saya masih lagi berlatih bermain gitar dan drum, selain mahu mencuba bermain keyboard melalui saluran Youtube.

Adakah Allahyarham bapa YB pernah memberikan nasihat sewaktu membuat keputusan menjadi ahli politik?

Arwah menniggal dunia pada 2015 dan jawatan politik pertama saya yang dilantik ialah Ahli majlis MBSA pada tahun 2018. Beliau sendiri tahu saya aktif dengan parti politik dan tidak pernah menghalang. Hanya saya sendiri selalu mengambil langkah berjaga-jaga untuk terus aktif, untuk menjaga nama baik arwah yang dilihat sebagai public figure dan selebriti popular di Malaysia.
Beliau pernah hubungi saya ketika sedang terlibat dalam demonstrasi Bersih pada 2012. Beliau hanya pesan untuk berhati-hati dan menjaga diri sahaja.

Sejak dari itu saya terus berpegang dengan pesanan itu dan perlu ambil pendekatan yang sesuai supaya dapat menjaga diri serta maruah keluarga secara keseluruhan. Saya sentiasa mempertimbangkan setiap perkara yang dibuat agar yang dilakukan itu akan memberikan imej yang baik atau buruk kepada keluarga. Sifat berhati-hati inilah yang saya kira adalah didikan yang diterapkan oleh arwah kepada saya untuk menjaga keluarga terutamanya politik kini dilihat kotor dan jelek dan pelbagai imej negatif dipalitkan kepada setiap ahli politik.

Apa pun saya yakin arwah serta ibu saya sendiri banyak memberikan galakan untuk terlibat langsung dalam politik dan sedikit sebanyak membantu untuk kita membuat perubahan dalam negara.

Apakah cabaran yang YB hadapi ketika berhadapan dengan Adun yang lebih senior di dalam sidang DUN?

Alhamdulillah kami mempunyai sokongan yang kuat dari rakan-rakan Adun PH yang senior. Untuk bersaing dari sudut prestasi khidmat di DUN, saya yakin dengan sikap progresif dan tenaga muda, saya mampu memberikan khidmat yang jauh lebiih baik sekiranya dibandingkan dengan rakan senior.

Hanya Ketika perbahasan di dewan, pada awalnya mungkin saya agak kekok dalam memahami Buku Peraturan Tetap dan Aturan Mesyuarat, namun untuk sidang pembukaan pada tahun 2024, saya kira semua itu sudah boleh saya hadam dan adaptasi. Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya selaku orang baru dalam Dewan Negeri.

Bercakap tentang soal miskin tegar, apakah yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah ini?

Setakat ini kami memanfaatkan pelbagai program menerusi Insiatif Selangor Penyayang yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk membantu golongan miskin tegar di DUN Batu Tiga. Setakat ini pelbagai program bantuan telah diberikan antaranya Bakul Makanan MBI, Voucher Perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina, Bantuan Masuk Sekolah TAWAS dan akan datang ada voucher Perayaan Aidilfitri. Semua ini mencecah 4,000 penerima yang pelbagai yang telah mendapat manfaat dari program ISP selain dari bantuan langsung dari Pejabat DUN Batu Tiga yang kita telah sampaikan.
Dun Batu Tiga mempunyai komposisi penduduk yang ramai berjumlah 75,000 dan sebahagian besar adalah penduduk asal generasi pertama yang masih tinggal di kawasan ini. Kebanyakan mereka adalah warga emas yang sudah tidak lagi bekerja malah ramai yang memerlukan bantuan dalam keadaan tinggal di bandar.

Jadi dalam masa perlaksanaan ISP ini, saya akan membuat sistem database untuk membuat mapping mengikut taraf ekonomi masyarakat. Ini akan dapat banyak membantu proses penyaluran bantuan bersasar yang akan kami laksanakan untuk rakyat.

Bagaimana YB membahagikan masa antara tuntutan tugas dengan keluarga?

Saya percaya kepada konsep quality time berbanding time quantity. Tuntutan tugas memang mencabar dan memerlukan penglibatan saya banyak di luar berbanding di rumah. Namun saya akan memanfaatkan waktu yang sedikit dan pendek di rumah itu untuk saya bersama dengan anak-anak. Walaupun masa yang singkat, saya akan pastikan saya dapat berbual dengan mereka dan mengambil tahu tentang perkembangan semasa atau pengalaman di sekolah.

Dan sekiranya mempunyai kelapangan masa, saya kerap berada di rumah untuk melihat anak-anak serta membantu isteri tentang urusan di rumah. Sedikit yang ramai tidak tahu, saya juga berkebolehan dan mempunyai bakat dalam masakan. Antara menu yang menjadi fokus saya adalah masakan ikan yang pelbagai seperti kari, sup dan lain-lain. Hobi saya adalah memancing dan memandangkan saya juga seorang pemancing tegar, saya akan mencuri sedikit masa untuk ‘healing’ sekiranya mempunyai masa yang lapang.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas