Wawancara

Tekad bina kesatuan ummah acuan MADANI

Buku Adab Dialog Dalam Islam karya Prof Dr Muhammad Sayyid Tantawi menjadi rujukan Zulkifli menguruskan perbezaan.
- Diterbit 26 Februari 2024 2:27 PM MYT

MENDAKI jawatan tinggi sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tidak pernah ada dalam lembaran hidupnya selama ini. Namun bagi Dr Zulkifli Hassan, pelantikannya ke kedudukan itu diterima dengan penuh rasa tanggungjawab tatkala melihat Hal Ehwal Islam di negara ini masih perlu diperkasa.

Bekas Timbalan Rektor dan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Melaysia (USIM) ini menjadikan tokoh Islam terkemuka, Ibn Khaldun sebagai suri teladan dalam mengangkat karamah insaniah menerusi kedudukan yang ada sekali gus memastikan penghayatan orang ramai terhadap ajaran Islam berada pada tahap yang membanggakan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY, jurukamera MOHD SHUAIB AYOB dan juruvideo MOHD HASIF di pejabatnya baru-baru ini, Zulkifli berkongsi aspirasi dan tekad untuk meningkatkan kefahaman Islam sekali gus membentuk budaya Malaysia MADANI dalam kalangan ummah.

Apakah reaksi utama Dr setelah diminta untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini?

Pelantikan ini bukanlah dalam perancangan karier, namun begitu saya menganggap ia salah satu daripada cabaran dan peluang yang boleh diusahakan di mana saya mengambil tauladan Ibnu Khaldun, apabila beliau menghasilkan kitab Muqaddimah setelah melalui jatuh bangun dalam kehidupannya, dari seorang ahli politik, hakim, aktivis masyarakat selain jatuh bangun tamadun, akhirnya beliau dapat menulis Al-Muqaddimah yang mahsyur. Saya anggap ini merupakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk melengkapkan perjalanan hidup sebagai seorang pemimpin mahupun ahli politik.

Apakah perbezaan kehidupan dahulu Dr sebagai ahli akademik dan kini sebagai Timbalan Menteri ?

Sebagai seorang ahli akademik, bersama dengan masyarakat itu merupakan salah satu daripada sebahagian hidup saya kerana sebelum ini saya terikat dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Malaysia dan dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang lain termasuk di luar negara. Saya aktif di United Kingdom dan menjadi Profesor Pelawat di Amerika Syarikat, jadi umumnya hidup saya sentiasa dengan masyarakat.

Saya tidak kekok kerana sudah biasa dengan masyarakat namun begitu yang berbeza adalah status sebagai Timbalan Menteri dan Senator yang mungkin mempunyai jangkaan berbeza oleh masyarakat.

Adakah Dr kesal dengan keputusan untuk terjun ke dunia politik hari ini kerana dilihat berpeluang cerah menjadi Rektor atau Naib Canselor universiti?

Apabila dimaklumkan untuk dilantik ke jawatan ini, saya sebenarnya memikirkan dan melihat apa yang boleh di sumbangkan kerana itu yang lebih penting dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada dan sedikit kecenderungan melihat politik Islam yang berjaya itu membuatkan saya bersemangat untuk melaksanakan idea-idea awal, malahan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagaskan Malaysia MADANI itu, saya telahpun menulis beberapa artikel tentang daulah MADANI ini, serta sebuah buku Pemikiran Rached Ghannouchi yang juga menceritakan mengenai daulah MADANI dan beberapa artikel berkaitan konsep dan aspirasi MADANI. Jadi apabila dimaklumkan itu saya terfikir ini mungkin Allah mahu memberikan peluang untuk merakyatkan idea-idea besar ini.

Sebagai ‘orang baru’, apakah persediaan Dr untuk sidang parlimen akan datang?

Ini merupakan soalan yang menarik kerana saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam Parlimen nanti. Namun begitu dari aspek akademik, ia merupakan satu rutin kepada seorang profesor untuk berhujah dan berdialog untuk memberikan pandangan. Namun begitu dalam dunia akademik ini ia berlaku secara aman, damai dan tertib walaupun berbeza pandangan dalam keadaan beradab dan sebagainya.

Di dalam akademik perbezaan pandangan itu sesuatu yang biasa dan diterima serta menjadi paksi kepada pencambahan idea. Namun begitu apabila disebut Parlimen, saya selalu memerhatikan debat di dalam Parlimen dan ketika ini antara persediaan yang saya lakukan adalah membaca segala dokumen dan saya telah meminta pegawai Parlimen untuk memberikan tunjuk ajar berkenaan dengan peraturan dan isu-isu termasuklah apa sahaja berkaitan dengan Hal Ehwal Islam.

Jadi umumnya saya boleh katakan di Parlimen itu kerapkali isu yang sama dibangkitkan, sebagai contoh apabila tiba musim haji, isu itu akan dibincangkan jadi sekurang-kurang soalan yang kita tahu sudah boleh dijawab. tetapi jika ada isu baru saya belum boleh jangkakan apa yang berlaku di Parlimen dan pada masa sama, saya juga teruja untuk berdebat dan berhujah di Parlimen.

Apakah yang Dr ingin lakukan supaya agensi agama ini boleh ditambah baik khususnya program-program untuk masyarakat di bawah JAKIM?

Saya ingin rumuskan bahawa apa yang paling penting adalah untuk connecting the dot. Kami juga berusaha memastikan Islam itu dapat sampai kepada semua 10 stake holders yang difokuskan seperti penjawat awam, pelajar di semua peringkat kemudian menerusi NGO dan persatuan penduduk yang berjumlah ratusan ribu termasuklah Non-Muslim. Selain itu, kami memfokuskan kepada sektor korporat dengan memastikan idea Ekonomi MADANI dan ekonomi manusiawi itu dapat diangkat sebaiknya.

Idea ini juga turut akan dibawa ke antarabangsa menerusi pembabitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS). Tidak lupa juga kami turut memfokuskan untuk memperkasakan institusi masjid, surau Jumaat dan surau yang jumlahnya menjangkau puluhan ribu. Insya-Allah idea gagasan Malaysia MADANI boleh capai termasuklah dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri, dan keseluruhan stake holders ini jika kita berjaya memberikan penerangan dan pencerdasan, Insya Allah Malaysia akan menjadi negara moden, negara Islam yang terbaik di dunia.

Dr menyebutkan bahawa keterlibatan dengan semua pihak ini diperlukan, bagamana pula dengan negeri-negeri yang tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan?

Dari segi aspek politik memang ada sedikit jurang, namun dalam konteks Hal Ehwal Agama ini di bawah Negeri-negeri dan fungsi untuk adalah untuk menyelaras, menyeragam dan membantu untuk merancang hala tuju dan sebagainya. Jadi apa kami lakukan kita bergerak ke semua negeri itu sama sahaja namun begitu sekiranya ada permintaan atau sedikit niche atau keunikan yang ada kita akan tanganinya secara berasingan.

Kita juga melayani semua negeri sama sahaja dan tidak ada perbezaaan, cuma sekiranya ada, kita akan tanganinya dengan baik sebagai contoh jika kita melaksanakan program melalui agensi-agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama, kita tidak pernah mengenepikan Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis, bahkan kita beri sama rata contohnya untuk peruntukan guru KAFA. Cumanya sekiranya ada dalam konteks kearifan tempatan maka kita akan raikan perbezaan itu.

Apakah tindakan Dr dalam menangani persepsi yang tidak baik kepada Islam terutama melibatkan perbalahan manhaj?

Sebenarnya isu ini sudahpun bermula ribuan tahun lalu, perbezaan manhaj dan pandangan itu memang fitrah dalam konteks agama. Kita ada kumpulan salafi, sufi, ahli sunnah wal jamaah dan ada juga wahabi, liberal dan ini semua adalah klasifikasi yang dibuat dan ianya berlaku sepanjang zaman.

Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita menguruskan perbezaan dan kepelbagaian. Perdana Menteri juga ada berpandangan untuk laksanakan beberapa pendekatan dan sebagai contoh beliau telah meluncurkan buku Adab Al- Ikhtilaf Fil Islam (Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam) Karya Prof Dr Taha Jabir Fayyadh Al- ‘Alwani, dan buku ini telahpun diminta untuk diwacanakan dan ada juga buku Adab Al-Hiwar Fi Al-Islam karya Prof Dr Muhammad Sayyid Tantawi bagaimana untuk menguruskan perbezaan. Ini sangat penting dan masyarakat kita mesti diajar dan diberikan kefahaman untuk menguruskan perbezaan kerana apa yang paling penting adalah kita menghormati perbezaan pandangan.

Itu di dalam konteks orang Islam yang berbeza manhaj dan fikrah, bagaimana dengan golongan bukan Islam pula?

Salah satu daripada main stake holders adalah orang bukan Islam kerana mereka juga sebahagian daripada Ummah dan Bangsa Malaysia. Kita perlu santuni dan meraikan perbezaan pandangan dan juga aspirasi serta persepktif mereka. Mungkin yang kita wacanakan menerusi kaedah Adabul Hiwar Al-Islam iaitu interfaith dialogue dengan golongan tersebut kerana di dalam konteks Islam itu senditri, istilah Lita’arafu itu sebenarnya menuntut bukan sahaja kepada kita bahkan orang lain untuk saling memahami dan mengenali. Apa yang kita ingin lakukan adalah untuk memperhebatkan lagi konsep itu kerana ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas