Selebriti

Nas Ahmad diuji penyakit jantung, perlu kos RM30,000 untuk pembedahan

- Diterbit 5 Januari 2023 10:16 PM MYT

BEKAS wartawan segmen Terjah dalam program hiburan terkenal, Melodi Nas Ahmad dilaporkan menghidap penyakit jantung dan memerlukan kos lebih RM30,000 untuk pembedahan.

Dugaan yang dihadapi Nas mula tular apabila pengacara Ahmad Fedtri Yahya, berkongsi perkara ini menerusi akaun media sosialnya.

“Perkembangan terkini Nas Ahmad Terjah. Difahamkan, beliau diuji dengan masalah jantung,” tulis Fedtri berserta sekeping foto yang memaparkan wajah terkini Nas yang kelihatan pucat dan cengkung di Hospital Serdang, Selangor.

Perkongsian Fedtri mendapat banyak respon pelbagai pihak termasuk pelakon terkenal, Nabila Huda yang turut sama meninggalkan komen dan mendoakan kesembuhan Nas.

Difahamkan, Nas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan penyakit jantung pada Januari lalu, kemudiannya dimasukkan ke Hospital Serdang, minggu lalu.

Bagaimanapun, Nas dibenarkan keluar hospital, baru-baru ini dan kini, sedang berehat di rumah.

Selepas meninggalkan TV3, Nas atau nama sebenarnya Mohd Nasir Ahmad mewujudkan saluran YouTube yang dinamakan Nas Ahmad Terjah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas