Biz

Warongku beri 1001 manfaat buat penjaja kecil

YANA bersama sebahagian produk HYA Empire yang dijual di platform Warongku.
- Diterbit 6 Januari 2023 3:55 AM MYT

PLATFORM digital Warongku yang dilancarkan pada April 2021 lalu dilihat banyak memberi manfaat buat penjaja kecil yang mendaftar di bawahnya selain jualan yang lebih tinggi dapat dihasilkan.

Warongku direka dengan objektif untuk meningkat dan melonjakkan pendapatan usahawan mikro, usahawan informal serta penjaja juga peniaga kecil melalui jualan dalam talian.

RUSHANIE bersama produk ayam pandan yang dijual melalui Shanzd Resources di platform Warong Mall.

Berkongsi berkenaan kelebihan mendaftar di bawah platform tersebut, Rushanie Nurhafiza Muhamad, 30, berkata antaranya adalah peniaga tidak perlu membuat kira-kira pada setiap bulan memandangkan Warongku sudah menetapkan hanya lima peratus (%) sahaja yang akan diambil dari hasil jualan.

“Selain itu, kita juga boleh berniaga bersama-sama sekali gus membantu sesama usahawan. Sebagai contoh, setiap link produk usahawan yang kita bantu promosikan, peniaga akan mendapat 1% dari jualan yang berjaya. Ia adalah daripada 5% caj perkhidmatan yang Warongku tetapkan,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku pada Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Rushanie yang menjual ayam pandan menerusi Warong Mall itu berkata peniaga juga akan dibantu menerusi latihan serta video tutorial dalam meningkatkan lagi hasil jualan.

“Saya pada mulanya agak blur untuk berniaga apa dan pada bulan Jun tahun lalu, baru tahu mengenai kelas percuma yang disediakan di platform Warongku. Setelah sertai, mereka bantu peniaga kecil macam saya untuk pasarkan produk melalui media sosial seperti membuat live di TikTok, content di Instagram dan sebagainya.

“Setiap minggu akan ada kelas mentoring dan di situ saya banyak bertanya soalan untuk lebih memahami mengenai perniagaan online dan alhamdulillah kini saya bukan sahaja peniaga malah merupakan salah seorang trainer Warongku,” ujarnya yang mempunyai kira-kira 100 orang mentee di bawahnya.

Tambahnya hasil jualan ayam pandannya juga meningkat sejak menggunakan platform Warongku.

“Sebelum ini jualan saya biasabiasa sahaja malah pernah tidak mencapai sebarang jualan namun setelah mendaftar, saya mampu mencapai RM2,000 hingga RM3,000 dalam sebulan,” jelasnya yang mengharapkan lebih ramai peniaga kecil di luar sana untuk mencuba platform e-dagang Malaysia seperti Warongku kerana pelbagai kelebihan serta ilmu baru akan diperoleh.

MAS DIANALIZA

Dalam pada itu, turut berkongsi kelebihan penggunaan Warongku terhadap peniaga kecil, Mas Dianaliza Md Jasa, 39, berkata penghantaran percuma yang ditawarkan merupakan faktor utama dirinya memilih platform tersebut.

“Warongku adalah sebuah aplikasi yang mempunyai pelbagai jenis servis perkhidmatan, pembelian dan jualan hanya dalam satu aplikasi. Tambahan pula ia tidak kenakan sebarang kos penghantaran jika dibandingkan dengan e-dagang yang lain.

“Jadi kenapa kita tidak manfaatkan kelebihan yang kerajaan sudah sediakan, oleh sebab itu saya memilih Warongku dan mahu ia diperkenalkan lebih meluas kepada rakyat Malaysia,” katanya yang juga merupakan seorang suri rumah.

Sementara itu, Mas Dianaliza atau lebih dikenali sebagai Yana mengakui tidak menyangka penglibatannya sebagai peniaga menerusi Warongku membuka banyak peluang buat dirinya.

“Saya bermula sebagai dropship sahaja dahulu, seorang peniaga kecil dan kini saya merupakan salah seorang Tenaga Pengajar Warongku dan Trainer Warongku Academy sebaris dengan trainer yang lain.

“Peluang dari Program Warongku, saya dipilih ke Program Train The Trainer, kemudian Program Business Coaching Certification di bawah Warongku dan pernah dijemput sebagai Tenaga Pengajar untuk pelajar Usahawan Kolej Komuniti Kulim pada hujung tahun lepas,” ujarnya yang turut mengajak peniaga di luar sana untuk mendaftar di bawah Warongku dan menyertai Program Go E-Commerce On Boarding 2023 yang akan bermula Februari ini.

Terdahulu, Rushanie dan Yana merupakan antara 20 peserta cemerlang daripada 200 orang yang terpilih untuk menyertai 10 siri pelaksanaan Program Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil 2022. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas