Biz

Nam Cheong Dockyard suntik RM60 juta di Hab Halal Labuan

KHALID (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian diantara Dr. Fary Akmal (empat dari kiri) dan Seng Keat dua dari kiri) dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Labuan dan Nam Cheong Dockyard Sdn. Bhd. di sini hari ini.
- Diterbit 16 November 2019 10:41 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

LABUAN – Tapak kompleks Hab Halal Labuan (HHL) di Kiansam yang selama ini terbiar sebagai projek gajah putih bakal bertukar wajah menjadi sebuah pusat pembinaan dan pembaikan kapal.

Ini berikutan syarikat pembinaan kapal sokongan pesisir (OSV), Nam Cheong Dockyard Sdn. Bhd. akan menyuntik pelaburan RM60 juta untuk menaik taraf kawasan hab halal tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dan pembinaan kapal dilakukan di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pemilihan syarikat berkenaan dilakukan berdasarkan permintaan cadangan terbaik yang diterima Perbadanan Labuan (PL) daripada lima firma sebelum ini.

”Setelah diwujudkan sejak berbelas tahun tetapi hakikatnya ada banyak masalah dari segi operasi dan reka bentuk, HHL tidak dapat dimanfaatkan seperti dirancangkan.

”Memandangkan ia telah menelan belanja tinggi dan tidak dapat memenuhi aspirasi, PL dengan persetujuan kementerian telah menjemput pihak yang berminat untuk beri cadangan.

”Nam Cheong telah memberikan cadangan terbaik termasuk dari segi jumlah pelaburannya dan peluang pekerjaan iaitu seramai 1,500 orang bakal diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PL dan Nam Cheong Dockyard di Kompleks Hab Halal Labuan.

Hadir sama Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussein; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Pengerusi Nam Cheong Dockyard, Tan Sri Tiong Su Kuok; Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Nam Cheong Dockyard, SK Leong.

Khalid berkata, operasi syarikat berkenaan dijangka mula dijalankan di tapak HHL pada tahun 2021 setelah kerja-kerja menaik taraf termasuk kemudahan jeti dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, langkah menukar fungsi tapak HHL tersebut tidak menghalangkan operasi hab halal.

”Setakat ini, dari segi latihan dan pensijilan akan diteruskan dan jika ada potensi pembangunan operasi hab halal dalam bidang industri dan perkilangan, kita akan kenal pasti lokasi lain,” katanya.

Terdahulu Leong dalam taklimatnya berkata, pembangunan semula tapak HHL akan dilakukan dalam tiga fasa dengan mengambil masa kira-kira 24 bulan sebelum operasi membabitkan perkapalan dapat dijalankan.

“Cadangan pembangunan di Labuan bukan sekadar untuk pembinaan dan pembaikan kapal malah turut membabitkan penyediaan perkhidmatan kejuruteraan marin,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kemudahan sedi ada di HHL seperti pusat penyimpanan dan sejuk beku bakal dinaik taraf serta dimanfaatkan.

”Ini kerana Pengerusi kami mempunyai kepakaran dalam bidang membabitkan perikanan sebelum ini dan kami dapati tempat tersebut dapat dimanfaatkan,” katanya yang menegaskan Nam Cheong melihat kepada peluang jangka masa panjang untuk memberikan sumbangan kepada komuniti dan membawa semula Labuan ke dalam peta industri minyak dan gas dunia.

Katanya, pihaknya turut akan memindahkan operasi sedia ada di Batam, Indonesia dan China setelah operasi di Labuan dijalankan.

”Kita harap syarikat lain dapat mengikut jejak langkah datang ke Labuan yang menjadi satu lokasi strategik,” katanya.

Nam Cheong yang bermula sebagai pembinaan kapal nelayan pada 1968, kini menjadi syarikat pembuatan OSV terbesar di negara ini. Syarikat itu telah menyiapkan 140 buah kapal sejak 2007. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas