Berita

20,000 murid sekolah terima bantuan YWP

KHALID (tengah) bersama guru-guru besar dan wakil yang hadir pada program Riang Ria Kembali Kesekolah. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 18 November 2019 5:35 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Seramai 20,000 murid seluruh Wilayah Persekutuan bakal menerima bantuan persekolahan tahun 2020 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pada Majlis Penyerahan Baucer Bantuan Persekolahan Riang Ria Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, penerima bantuan tersebut terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan.

“Baucer RM120 diberikan kepada setiap penerima. Mereka layak menebus baucer tersebut di pusat penebusan terpilih yang telah ditetapkan YWP.

“Antara barangan yang boleh ditebus bagi pelajar lelaki ialah tiga pasang baju putih, seluar panjang atau seluar pendek manakala bagi murid perempuan, mereka boleh menebus tiga pasang baju kurung atau pinafore,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berkenaan. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun; Timbalan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Najib Ab. Rahman; Timbalan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Amat Roslan Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad.

Menurut Khalid, penganjuran kali kedua ini juga menjadi bukti bahawa kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa membantu keluarga B40.

“Adalah penting untuk semua pihak di Wilayah Persekutuan terus bekerjasama bagi memastikan anak-anak di sini mendapat kemudahan yang sewajarnya terutama dalam aspek pendidikan.” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas