Selebriti

Nadeera mahu berdiri atas bakat sendiri

NADEERA beruntung kerana dikelilingi ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
- Diterbit 6 Mac 2020 7:06 AM MYT

LIMA tahun dalam industri seni namun kehadirannya masih tidak begitu disedari. Namun, ia tidak mematahkan semangat bekas peserta program Mentor Legend 2015, Nadeera Zaini untuk terus berada dalam industri hiburan.

Malah anak didik penyanyi terkenal Zainal Abidin ini sanggup mengeluarkan duit poket sendiri demi melancarkan single ketiganya berjudul, Nyawa yang telah pun dimuat naik di semua platform digital baru-baru ini.

Segalanya dilakukan demi minat bukan mengejar populariti semata-mata. Biarpun sedar laluannya berliku namun menurut Nadeera tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan.

“Saya mengeluarkan lebih RM15,000 untuk memastikan single ini berjaya. Duit tersebut saya kumpul hasil penat lelah saya menyanyi di lounge,” ujar penyanyi berasal dari Mersing, Johor ini.

Cerita pemilik nama penuh, Farah Nadeera ini, dia sanggup bekerja siang dan malam semata-mata untuk melancarkan single terbarunya itu. Malah gara-gara ingin menerbitkan single, dia juga pernah ditipu oleh individu yang bergelar ‘Datuk’.

“Dia datang kepada saya untuk menaja single ini namun akhirnya apa yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan. Mujurlah saya cepat sedar dan menjauhkan diri daripadanya sebelum wang saya lesap,” ujarnya.

Menjadikan hal tersebut sebagai pengalaman berharga, kini dia lebih berhati-hati dalam apa jua perkara agar hal seperti itu tidak berlaku sekali lagi.

Bercerita tentang single Nyawa, menurutnya, lagu tersebut mengisahkan pengalaman sedih kehilangan adik sepupu yang amat disayangi hampir dua tahun lalu.

“Sehingga kini saya masih tidak dapat melupakannya. Pemergiannya yang terlalu cepat membuatkan saya trauma. Semua perasaan pilu yang saya rasakan saat ini, saya luahkan dalam lagu Nyawa,” ujarnya yang kini bernaung di bawah label syarikat rakaman Map Music.

Ditanya tentang penerimaan peminat terhadap lagu tersebut, menurut penyanyi kecil molek ini, Nyawa mendapat sambutan amat menggalakkan dan kini dia masih dalam rangka promosi.

Anggap Zainal Abidin bapa

Mahu berjaya seperti bekas mentornya, Zainal Abidin, Nadeera mengakui dia menganggap penyanyi yang terkenal dengan lagu Hijau itu sebagai seorang bapa. Ini kerana penyanyi tersebut banyak membantunya selama ini terutama dalam dunia nyanyian.

“Selepas keluar daripada program Mentor Legend, saya pernah tinggal bersama keluarganya hampir dua tahun. Sepanjang tempoh tersebut, saya banyak belajar tentang selok-belok bidang nyanyian malah dia adalah inspirasi saya untuk terus berjaya,” ujarnya.

Katanya lagi, jasa dan layanan baik keluarga penyanyi tersebut tak akan dilupakan. Dalam masa yang sama, turut berharap agar dirinya berjaya mengejar impian sebagai penghibur yang disegani suatu hari nanti.

“Saya beruntung kerana mereka disekeliling sentiasa menyokong perjalanan seni. Malah keluarga saya juga tidak terkecuali memberi dorongan kepada diri ini,” ujar penyanyi yang bermula daripada penyertaan Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua ini lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas