Personaliti

Muhammad Nor tahan cabaran di hutan Amazon

- Diterbit 6 Mac 2020 7:20 AM MYT

DI KALA ribuan siswazah masih tercari-cari pekerjaan, pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Nor Abdul Rashid, 26, dikira agak bertuah kerana terpilih untuk berkhidmat di sebuah penyedia perkhidmatan berkaitan cari gali minyak terbesar di dunia, Schlumberger Ltd.

Berkhidmat sebagai jurutera pelantar minyak yang terletak di Ecuador, iaitu di tengah-tengah hutan Amazon ternyata memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada anak keempat daripada lima orang adikberadik ini.

Berkongsi kisah kehidupannya di rantau orang, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya ini berkata, sungguh pun ditugaskan di hutan Amazon, dia harus sentiasa bersedia untuk dihantar ke seluruh dunia pada bila-bila masa mengikut keperluan.

“Saya pernah diminta ke AbuDhabi, Dubai dan pernah berkerja di Qatar hujung tahun lalu kerana ketidaktenteraman yang berlaku di Ecuador. Pun begitu, kerana menyukai bidang kerja ini, saya sanggup berdepan dengan risiko,” ujarnya.

Katanya, dia juga menghadapi cabaran penggunaan bahasa Sepanyol yang digunakan sepenuhnya dalam segenap proses kerja namun itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus mempelajari bahasa tersebut.

“Kerjaya ini ada masanya memerlukan saya berkerja secara berterusan tanpa rehat yang cukup. Untuk itu, saya perlu sentiasa kuat dari segi mental dan fizikal. Namun ia mengajar saya untuk lebih cekap dan mampu membuat keputusan cepat dalam keadaan yang genting,” ujar Muhammad Nor.

Hidup berdikari dan tinggal berjauhan daripada keluarga merupakan perkara yang menyedihkan ketika mula-mula bekerja pada tahun 2018, namun mujurlah teknologi komunikasi yang canggih hari ini sentiasa menghubungkannya bersama insan tersayang.

“Saya harus tahu cara menjaga diri terutamanya semasa sakit dan keseorangan. Selain itu, saya juga berdepan dengan cabaran aspek kehidupan sebagai seorang Muslim di negara yang majoritinya adalah penganut agama Kristian. Alhamdulillah semuanya masih boleh diatasi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Anak pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini berkata, dia bertuah kerana berpeluang melancong ke banyak lokasi menarik di Ecuador dan bertemu serta bergaul dengan ramai individu dari pelbagai negara.

“Kepelbagaian perspektif dalam pemikiran akan menjadikan kita seorang yang lebih terbuka dan memudahkan kita menerima aspek yang positif daripada budaya yang berbeza.Jauh perjalanan, luas pengalaman,” ujarnya.

Sempat berkongsi nasihat kepada graduan yang berhasrat menceburi bidang pekerjaan sepertinya, menurut Muhammad, jika seseorang itu sanggup berjauhan daripada keluarga demi pengalaman kerjaya yang sukar diperolehi serta mempunyai tahap kekuatan mental dan fizikal yang tinggi, maka mereka bolehlah memilih bidang ini sebagai kerjaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas