WK2

MYJob@Wilayah sinar baru kepada anak muda

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan beramah mesra dan memberi nasihat kepada pekerja PSH semasa menikmati hidangan tengahari selepas orientasi baru-baru ini
- Diterbit 8 Ogos 2020 3:00 AM MYT

RATUSAN peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi inisiatif MYJob@Wilayah kepada warga kota oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ternyata memberi sinar dan harapan
baharu kepada golongan belia.

Malah ia juga turut memberi nafas baharu buat warga kota yang rata-ratanya sedang bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang agak terhad dan sukar lebih-lebih lagi dalam pasca Covid-19.

AHMAD FADZILAH

Tinjauan Wilayahku baru-baru ini menyaksikan ramai yang gembira dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dalam mendepani masalah tersebut.

Menurut Ahmad Fadzilah Hassim, pekerja sambilan harian (PSH) yang ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi peluang kepada individu yang kehilangan kerja akibat penularan wabak Covid-19, mempunyai sumber pendapatan sementara.

“Ratusan ribu rakyat Malaysia terkesan dan diberhentikan kerja kerana syarikat tidak mampu menanggung kos tinggi di samping bilangan pekerja yang ramai. Keadaan lebih sukar kepada mereka yang perlu menanggung keluarga.

“Dengan adanya PSH, sedikit sebanyak, mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memiliki pendapatan sementara sebelum memperoleh pekerjaan baharu,” katanya yang turut berharap pekerja PSH diberi peluang menjawat perjawatan tetap tanpa perlu melalui temuduga.

IZZAH NADZI

Sementara itu, menurut Izzah Nadzi pula, peluang yang diberi bukan sahaja meringankan beban yang ditanggung individu terkesan bahkan ia juga memacu kepada pengurangan peratusan golongan miskin bandar.

“Zaman sekarang ini sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Tidak semua orang yang bernasib baik. Ini peluang keemasan yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang terutamanya golongan belia.

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, ini bukanlah masanya untuk memilih kerja namun PSH ini turut menawarkan pelbagai perjawatan merangkumi setiap peringkat kelulusan iaitu Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.

Turut berkongsi pandangan, menurut Ahmad Firdaus Abdul Hadi, mereka yang ditawarkan pekerjaan pula seharusnya menghargai dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

“Beribu-ribu orang di luar sana merintih mencari pekerjaan, anda merupakan insan yang bernasib baik kerana terpilih. Sedarlah kerana masa hadapan pasti lebih mencabar,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas