Fokus

MyGrocer@Wilayah : tangani isu kos sara hidup

PROGRAM inisiatif Wilayah Prihatin ini membantu golongan miskin bandar.
- Diterbit 19 September 2020 3:00 AM MYT

MENYEDARI kesukaran hidup yang dilalui oleh golongan miskin bandar di Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dalam menangani kos sara hidup di saat persekitaran ekonomi yang tidak menentu ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tampil membantu menerusi program inisiatif Wilayah Prihatin.

Projek perintis MyGrocer@Wilayah yang masih dalam tempoh percubaan ini dilihat sehabis baik cuba meringankan beban golongan ini agar tidak terlalu terhimpit dalam menjalani kehidupan
seharian di ibu kota.

Program hasil usahasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan rakan strategik, Rumah Nenek Sdn Bhd ini mampu memberi kepuasan kepada penduduk untuk mendapatkan barangan basah melalui trak saji.

Menariknya, penduduk kawasan PPR/PA di sekitar Kuala Lumpur dapat memilih barangan basah dan terkawal dengan harga jauh lebih rendah yang ditawarkan di pasar-pasar awam sedia
ada.

Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama mereka tidak perlu keluar jauh semata-mata untuk membeli barangan makanan seperti ayam, ikan, bawang, gula dan sebagainya sekali gus turut menjimatkan kos pengangkutan.

Hampir dua minggu beroperasi, projek sepanjang minggu kecuali pada hari Isnin ini dilihat memberi peluang keemasan kepada penduduk untuk berbelanja barangan asas dengan harga lebih berpatutan.

Beri impak kepada penduduk

PENDUDUK PPR/PA kini tersenyum gembira dengan pelaksanaan MyGrocer@Wilayah kerana mereka dapat merasai harga barang basah dan terkawal serendah 20 peratus daripada pasar awam.

Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian (Ekonomi & Penswastaan), Bahagian Sosio Ekonomi, Kementerian Wilayah Persekutuan, Mohd Mahyuddin Yahya, objektif utama program ini untuk membantu penduduk dalam menangani kos sara hidup yang tinggi.

 

MOHD MAHYUDDIN

“Dengan adanya ini maka mereka mempunyai pilihan yang lebih menjimatkan serta memudahkan kerana berada di dalam kawasan perumahan. Boleh sahaja jika ingin berbelanja di luar semuanya bergantung pada pilihan masingmasing,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang konsep program tersebut, menurutnya ia merupakan program inisiatif persendirian yang melibatkan peruntukan rakan strategik, Rumah Nenek Sdn Bhd dengan usahasama FAMA dan KPDNHEP.

“Kita berkait rapat dengan mereka dalam melaksanakan projek ini namun pihak kerajaan tidak menyediakan sebarang peruntukan untuk program ini dan semua risiko ditanggung oleh pihak
rakan strategik.

“Sebagai contoh, FAMA menyediakan barangan seperti sayur-sayuran, buahbuahan, KPDNHEP pula bertanggungjawab kepada barangan kawalan seperti gula, tepung, minyak masak dan sebagainya sementara Rumah Nenek Sdn Bhd menjual barangan basah seperti ayam dan daging,” katanya.

Menyentuh tentang konsep baharu dengan menggunakan trak saji ini, Mohd Mahyuddin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha untuk menekankan keadaan yang lebih bersih dan sistematik.

“Kalau boleh tidak mahu lagi pengusaha bersusah payah membuka payung dan meja. Konsep baharu ini lebih kemas dan kurang mengundang longgokan sampah sarap. Jadi ia lebih mesra pengguna.

“Untuk tempoh percubaan yang berlangsung sejak dua minggu lalu melibatkan 36 lokasi PPR/PA serta lima buah trak yang beroperasi antaranya di PPR Jalan Jelatek, PPR Seri Semarak, PA Seksyen 10, Wangsa Maju dan beberapa lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, jika projek perintis ini berjalan dengan lancar, sasarannya pada masa akan datang adalah pertambahan trak sebanyak 20 hingga 30 buah yang merangkumi keseluruhan 128 lokasi PPR/PA di ibu kota.

Mensasarkan fasa kedua tidak lama lagi, pada masa akan datang program ini dijangka akan dibuka kepada pengusaha yang layak berdasarkan syaratsyarat yang akan ditetapkan oleh pihak KWP.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk dan kita dalam proses mengenal pasti serta menambah baik program ini agar ia dapat memberi kebaikan kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya yang turut berhasrat untuk meluaskan operasi ke pihak berkuasa tempatan (PBT) di masa akan datang.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas