Artikel

Harapan baharu anak autisme

Azman ketika merasmikan kedainya di Taman Saujana Puchong baru-baru ini.|DAZRINA|
- Diterbit 19 September 2020 3:00 AM MYT

BUKAN mudah bagi ibu bapa untuk menjaga dan mendidik anakanak istimewa yang menghidap autisme.

Namun dengan keazaman yang tinggi, ibu kepada anak istimewa Nurdiana Allisya Mizan Normizan, 9, Dazrina Che Din berusaha gigih untuk memberikan didikan yang terbaik buat anaknya itu.

Daripada tidak mengerti apaapa tentang autisme, kini wanita berusia 40 tahun ini mampu membantu ibu bapa di luar sana berbekalkan pengalaman yang diperolehnya.

“Selepas anak sulung ini disahkan menghidap autisme ketika berumur 23 bulan, saya agak kekok untuk menjaganya kerana tiada ilmu atau pengalaman tentang autisme. Apa yang boleh saya buat ketika itu hanya banyak membaca tentang autisme dan bertanya kepada pakar.

“Daripada situlah saya mula menghasilkan buku berkaitan teknik membaca dan menulis bagi membantu anak autisme ini,” ujar Dazrina.

DAZRINA

Ceritanya lagi, sejak itu dia mula mengumpul modal untuk mengeluarkan produk Pensel Claw bagi membantu kanakkanak yang mempunyai masalah memegang pensel dengan cara yang betul.

“Produk ini amat membantu kanak-kanak yang lemah dalam menulis atau baru belajar menulis. Setakat ini, penggunaan bahan khusus dan Pensel Claw terbukti berkesan apabila saya nampak perubahan bukan hanya kepada Nurdiana tetapi dua lagi anak saya yang normal serta kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lain seperti Sindrom Down dan Cerebral Palsy,” katanya.

Dalam masa yang sama, dia juga turut menggunakan pendekatan lain untuk membantu Nurdiana termasuk dengan cara bercerita dan menyanyi.

“Usaha saya berhasil apabila dia mula memanggil saya ibu pada umur lima tahun. Walaupun agak lewat, ia cukup menggembirakan saya sebagai seorang ibu,” katanya yang menitiskan air mata gembira di saat Nurdiana mula memanggilnya ibu.

Baginya, panggilan ibu itu adalah hadiah paling bermakna setelah berusaha gigih memberikan yang terbaik buat anak.

“Ketika dia memanggil saya ibu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa seronoknya saya. Alhamdulillah,” ungkapnya kepada Wilayahku.

OTAK KANAN, antara produk di kedai Tulis Cantik.

Menyentuh tentang cabaran berdepan anak autisme, Dazrina pernah menyalahkan diri sendiri apabila anaknya disahkan autisme.

“Saya tidak tahu anak saya menghidap autisme kerana dia kelihatan normal sehinggalah saya melihat anak rakan boleh mengikut arahan tetapi Nurdiana pula sebaliknya,” ujarnya.

Sambungnya lagi, dalam keadaan dirinya masih dalam pantang melahirkan anak kedua ketika itu, dia tekad membawa Nurdiana bertemu dengan pakar psikiatri.

“Waktu itu, saya tidak habis-habis menyalahkan diri sendiri kerana menyangka ia berpunca daripada kesilapan saya tidak memberi perhatian terhadapnya. Mujurlah suami, Normizan Ibrahim dan keluarga sentiasa positif,” ujarnya mengakui semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

BANTU ANAK SYURGA

Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang ada hasil usaha mendidik Nurdiana, hasratnya menjalankan perniagaan sematamata ingin membantu ibu bapa yang mempunyai anak autisme.

Bermula secara dalam talian selama tiga tahun, kini Dazrina sudah memiliki kedai sendiri, Tulis Cantik yang terletak di Taman Saujana Puchong, Puchong.

Permainan atau barangan yang dijual ini bukan sahaja boleh membantu dalam mendidik anak autisme, tetapi juga golongan OKU. Malah, dia turut merancang menjadikan perniagaannya itu sebagai platform untuk memudahkan orang ramai memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan.

“Ia menerusi projek sedekah yang membolehkan pelanggan membeli sambil menderma dengan cara menyumbang mainan itu pada kotak disediakan di kedai,” ujarnya gembira dapat
membantu ibu bapa lain yang mempunyai masalah sama.

DAZRINA bersama Pencetus Ummah, Azman ketika merasmikan kedainya di Taman Saujana Puchong baru-baru ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas