Fokus

MyGrocer@Wilayah : Lebih murah, mudah dikendalikan

KONSEP trak saji lebih kemas, bersih dan mesra pengguna.
- Diterbit 19 September 2020 3:03 AM MYT

BUKAN hanya menawarkan harga yang jauh lebih murah, MyGrocer@Wilayah yang dikendalikan rakan strategik, Rumah Nenek Sdn Bhd turut memudahkan pengguna mengendalikan keperluan
harian.

Ini kerana, kata Ketua Eksekutif Rumah Nenek Sdn Bhd, Abu Zaki Abu, barangan yang dijual seperti ikan dan ayam sudah siap diproses dan dipotong.

Jelasnya, konsep jualan yang dilaksanakan itu juga sejajar dengan pelaksanaan norma baharu iaitu tidak boleh berkumpul di samping menjaga penjarakan fizikal.

“Saya menggunakan trak dan ruangan sangat terhad. Oleh itu, tiada proses potong memotong dijalankan sebaliknya ayam atau ikan sudah siap dibersihkan sebelum dibungkus untuk jualan, ia juga diletakkan di dalam peti sejuk beku.

“Barang yang kita guna juga segar iaitu ayam atau ikan dipotong pada waktu malam untuk dijual pada keesokan harinya. Kita sentiasa memastikan keselamatan makanan itu sendiri,” katanya yang turut menjual harga lebih murah berbanding pasar awam.

ABU ZAKI

Mengulas tentang kos pula, ujar Abu Zaki, tidak wujud isu kerugian kerana harga yang dijual adalah setanding pasaraya walaupun 20 peratus lebih murah berbanding pasar
awam.

“Di Malaysia ada tiga segmen pasaran iaitu supermarket, pasaraya dan pasar awam. Ketiga-tiga segmen ini menawarkan harga yang berlainan dan isu harga sering terjadi di pasar awam yang mana ia sukar dikawal.

“Di Tesco, harga ayam adalah RM5.99 dan turun kepada kira-kira RM4 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi di pasar awam masih RM8,” jelasnya yang membandingkan harga dengan pasar awam.

Bercerita lanjut tentang MyGrocer@Wilayah yang baharu dilaksanakan dua minggu, katanya, sambutan amat menggalakkan daripada penduduk projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA).

Sehubungan itu, tambahnya, trak jualan akan ditambah daripada empat kepada lima buah bagi memudahkan pelanggan membeli barangan keperluan harian.

Sambutan memberangsangkan di PPR, PA

PROGRAM MyGrocer@ Wilayah yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sangat membantu golongan berpendapatan rendah dan penduduk di projek perumahan rakyat (PPR) serta perumahan awam (PA) mendapatkan bekalan bahan mentah.

Penduduk PPR Beringin, Nur Sofina Saud, 24, berkata, dengan adanya program tersebut, penduduk PPR tidak perlu mengeluarkan kos untuk ke pasaraya atau pasar awam berhampiran. Malah, katanya, selain mempunyai pelbagai pilihan barangan, harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding pasar awam.

“Saya pernah lihat trak jualan tersebut di PPR Kerinchi dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk.

“Oleh itu, saya berharap program seumpama ini diadakan di semua PPR atau PA sekitar Kuala Lumpur sekali gus memberi kesejahteraan kepada warga kota,” katanya. Sementara itu, pengusaha tanaman cili, Mohd Hasriq Amiruddin, 35, memberitahu, program yang dilaksanakan KWP dapat membantu mengimbangi kos yang ditanggung petani.

MOHD HASRIQ

 

Jelasnya, apabila harga jualan ditetapkan, maka golongan petani tidak perlu tanggung kerugian disebabkan permainan harga oleh pemborong.

“Pemborong akan sewenangnya meletakkan harga rendah jika bekalan berlebihan. Oleh itu, dengan program kementerian, harga dapat distabilkan dan peniaga atau peruncit tetap akan mendapat keuntungan,” jelasnya.

Bagi pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Nur Liyana Wan Hussein, 32, pula, sekiranya MyGrocer@Wilayah berkembang ke serata negeri, ia dilihat mampu membuka peluang perniagaan kepada golongan muda yang baru bertapak.

Justeru, dia berharap supaya proses untuk menjadi peniaga di bawah program tersebut lebih mudah dan terbuka.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas