Berita

Pencapaian PPj diiktiraf di peringkat antarabangsa

- Diterbit 24 Oktober 2020 3:30 AM MYT

PRESTASI cemerlang Perbadanan Putrajaya (PPj) menguruskan pemantuan diiktiraf antarabangsa apabila Sistem Pemantauan OSC 3.0 kendaliannya menerima Anugerah AIM–Future City Award bagi kategori Future Government Award.

Penganugerahan ini sekaligus melakar nama PPj di pentas dunia apabila berjaya mencatat markah tertinggi Pertandingan Inovasi Antarabangsa AIM Future Cities Award Dubai, 2020 yang merupakan ekspo digital anjuran Annual Investment Meeting (AIM).

Penganjuran ekspo AIM antara inisiatif diambil oleh Kementerian Ekonomi Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghimpunkan komuniti terdiri daripada kalangan pakar pelaburan global di bawah satu platform virtual.

Anugerah yang diterima PPj melalui Majlis Future Cities Award Ceremony itu berlangsung secara maya bersempena penganjuran AIM Digital 2020 yang diadakan 20 hingga 22 Oktober di Dubai.

Penganugerahan kali pertama PPj di peringkat antarabangsa itu hasil daripada keberkesanan Sistem Pemantauan OSC 3.0 yang berkeupayaan untuk menerima, memproses dan melulus serta memantau semua projek meliputi perancangan, pembangunan selain infrastruktur, landskap dan pengubahsuaian sehingga ke tahap pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Penggunaan sistem tersebut juga dilihat sebagai cerminan terhadap ketelusan PPj bagi berurusan dengan stakeholder yang terlibat selain berupaya mempercepat proses kelulusan sesuatu projek.

Sistem diguna pakai ini bukan sahaja mudah dan  mesra pengguna kerana ia boleh diakses secara web base dan melalui telefon bimbit, sekaligus membolehkan Sistem Pemantauan OSC 3.0 yang sebelumnya telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan peringkat tempatan.

Antara anugerah diraih adalah Anugerah Presiden  Malaysia Institute of Planners (MIP) for Planning Excellence 2018; Anugerah Emas Regional Team Excellence 2019 anjuran Malaysia Productivity Corporation; Anugerah 5 Bintang Emas sempena The Annual Productivity & Innovation Conference (APIC) Exposition 2019 dan turut dinobat sebagai Pemenang Kategori Sektor Awam di APIC 2019.

Di samping itu, Sistem Pemantauan OSC 3.0 juga menjadi kayu ukur pembangunan Sistem OSC 3 Plus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang kini diguna pakai oleh beberapa Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia.

Selain itu, anugerah diterima PPj merupakan satu  pengiktirafan terhadap kerja keras PPj selama ini di dalam usahanya memajukan Putrajaya sebagai Bandar Pintar menjelang 2025 di mana Blueprint Smart City Putrajaya ini menggariskan 93 inisiatif pintar yang telah dimulakan sejak tahun 2018. – OLEH: SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas