Berita

Muzium Tekstil simpan khazanah busana

PELBAGAI jenis corak kain batik dipamerkan.
- Diterbit 26 Oktober 2019 1:37 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

TEKSTIL Melayu suatu masa dahulu sangat terkenal dan menjadi salah satu komoditi dagangan utama semasa Melaka diangkat sebagai pelabuhan terpenting pada abad ke-15.

Malah, pada masa itu, hanya orang kenamaan yang mampu memakainya sambil dilengkapi pelbagai jenis aksesori antaranya dokoh tiga tingkat, pending berserta tali pinggang dan perhiasan diri yang lain seperti gelang mahu pun cucuk sanggul emas atau bertahtakan permata.

Namun keagungan itu tidak bertahan lama sehingga generasi masa kini tidak mengenali busana tradisional, jenis-jenis kain yang dihasilkan masyarakat terdahulu serta perhiasan yang dipakai sebagai lambang kemegahan atau status sosial. Penghasilan busana kontemporari juga menenggelamkan pakaian tradisional berkenaan.

BAJU Kebaya lama yang dipamerkan di dalam Muzium Tekstil.

Bagi mengelakkan busana tradisional Melayu ditelan zaman di samping memperkenalkannya kepada generasi masa kini, Jabatan Warisan Negara menyimpan dan mempamerkannya di Muzium Tekstil Negara.

Bertempat di Bangunan JKR 26 di Lot 50 Seksyen 70, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, muzium yang dibuka kepada orang ramai bermula 9 Januari 2010 ini menjejak aliran dan perkembangan tekstil yang telah membentuk gaya hidup masyarakat Malaysia sejak zaman pra-sejarah hingga kini.

Pengunjung dapat melawat empat galeri yang mempamerkan koleksi tekstil tersohor, aksesori dan pakaian selain turut diserikan dengan persembahan multimedia yang menonjolkan teknik-teknik penghasilan tekstil di Malaysia.

Galeri Pohon Budi mempamerkan asal-usul tekstil dari zaman pra-sejarah serta perkembangan yang dialami. Di sini turut dipamerkan peralatan, bahan dan teknik tradisional pembuatan tekstil. Pertunjukan video yang disediakan pihak muzium memberi pendedahan kepada pengunjung tentang proses penghasilan tekstil antaranya keringkam, songket dan pua kumbu.

BANGUNAN JKR 26 di Lot 50 Seksyen 70, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur yang dijadikan Muzium Tekstil Negara.

Galeri Pelangi pula mempamerkan koleksi warisan terpilih seperti jenis pakaian yang dipakai oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia antaranya pakaian yang dipakai masyarakat Baba Nyonya dari Melaka serta pelbagai pakaian dari suku kaum etnik di Sabah dan Sarawak.

Menjengah ke aras 1 muzium pula, pengunjung berpeluang melihat warisan songket Melayu termasuk koleksi kain tenun, kain berayat, songket tenggarung dan lain-lain lagi di Galeri Teluk Berantai.

Di aras sama, Galeri Ratna Sari mempamerkan koleksi barangan kemas dan alat perhiasan peribadi yang dipakai generasi dahulu. Antara barang yang dipamerkan ialah anting-anting, pin rambut, gelang tangan dan gelang kaki, cucuk sanggul, keris, tengkolok serta aksesori yang dipakai oleh pelbagai etnik di seluruh Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, tekstil Melayu merujuk kepada kain-kain tenunan yang dihasilkan orang Melayu termasuklah seluruh penduduk peribumi di Kepulauan Melayu dan diaspora serumpun.

Kain songket yang dikenali sebagai kain belatak dan kain berturus pula ditenun orang Melayu Sarawak kerana ia dianggap warisan kesultanan Brunei.

Pada masa dahulu, tekstil Melayu sangat terkenal dengan ragam hiasnya seperti tekatan, kelingkan, gerus dan telepuk yang dihasilkan bagi menghiasi permukaan kain dengan corak-corak daripada benang emas dan perak atau kertas emas.

Seperti alat telekomunikasi, tekstil juga berkembang pesat. Evolusi tekstil di Malaysia bermula daripada dedaun, kulit kayu dan jalinan bahan-bahan yang ditemui di persekitaran sebelum dipengaruhi budaya Dong Son dari Vietnam yang mewujudkan aktiviti tenunan pada tahun 300 sebelum Masihi.

Pameran Sulaiman Ghani

Bertempat di aras 1 juga, Galeri Saindera yang merupakan ruang pameran berkala mengetengahkan PAMERAN SULAIMAN GHANI: PENGGIAT SENI TEKSTIL. Pameran yang mengetengahkan 40 daripada 110 koleksi tekstil peribadi kepunyaan Allahyarham Profesor Madya Sulaiman Nani @ Abd. Ghani dibuka untuk kunjungan orang ramai selama tiga bulan iaitu dari 24 September hingga 24 Disember ini.

Pameran tersebut merupakan tanda penghargaan Jabatan Muzium Malaysia atas jasa dan sumbangan beliau menaikkan industri pembuatan seni kraf tangan tekstil khususnya batik dan tenun ke peringkat yang lebih tinggi serta semakin diminati ramai.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas