Berita

Musaadah Khaira PPZ beri bantuan tanpa kira agama, kaum

ZULKIFLI menerima replika cek Musaadah Khaira PPZ Covid-19 daripada Ahmad Shukri sebagai simbolik perasmian program bantuan itu di Putrajaya hari ini.
- Diterbit 1 April 2020 11:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Golongan yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk individu bukan Islam boleh memohon bantuan di bawah program Tabung Musaadah Khaira PPZ anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, PPZ-MAIWP menyediakan dana permulaan sebanyak RM1 juta yang terbuka kepada semua warganegara tidak kira latar belakang kaum dan agama.

“Bantuan ini untuk golongan B40, pendapatan isi rumah bawah RM4,360 sebulan, pemohon merupakan individu yang terjejas ataupun hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

“Ikut kemampuan kita, sekarang boleh proses 1,000 pemohon dalam sehari. Layak tak layak 1,000 itu kita proses dan kita janji permohonan akan diproses dalam tempoh tujuh hari saja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Musaadah Khaira Covid-19 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyempurnakan perasmian pelancaran program itu.

Menurut Ahmad Shukri, pemohon juga tidak perlu menunggu lama kerana semakan boleh dibuat secara atas talian dengan memasukkan nombor MyKad, berjaya atau tidak akan dimaklumkan.

Jelasnya, golongan bukan Islam turut mendapat manfaat daripada program ini tetapi sumbangan yang diterima adalah daripada dana syarikat korporat.

Tambahnya, maklumat berkaitan permohonan serta perincian boleh dilihat di laman  musaadahkhaira.zakat.com.my bermula hari ini dan bayaran akan dibuat secara pemindahan elektronik (EFT) kepada yang layak.

Terdahulu, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melalui Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed menyerahkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada PPZ-MAIWP sambil disaksikan Zulkifli. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas