Berita

Eizlan turun padang bantu frontliner

EIZLAN bersama pasukan frontliner yang sanggup berkorban demi keselamatan negara.
- Diterbit 1 April 2020 11:56 AM MYT

MENYEDARI betapa besarnya pengorbanan petugas barisan hadapan (frontliner) dalam menangani wabak Covid-19, pelakon dan penerbit, Datuk Seri Eizlan Yusof sanggup ‘turun padang’ bagi menyampaikan sumbangan pek makanan kepada petugas di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Eizlan yang juga merupakan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) berkata, dia bersama pasukan sukarelawan CDERT Ohhsem yang bernaung di bawah APM bertugas untuk memberi sokongan padu kepada petugas barisan hadapan seperti APM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.

“Kita perlu prihatin dengan mereka kerana sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan kita semua selamat terutamanya dalam tempoh yang sangat mencabar ini.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung ini, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat menggembira dan meringankan beban mereka,” ujarnya.

Tambahnya, saban hari CDERT Ohhsem giat membantu petugas barisan hadapan dari segi makanan dan keperluan lain.

“Hari ini sahaja kita telah bergerak ke beberapa lokasi antaranya Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra, Majlis Sukan Negara dan Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur.

“Insya-Allah kami akan pergi ke banyak lagi lokasi lain di seluruh Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

EIZLAN beramah mesra dengan salah seorang petugas barisan hadapan.

Mengulas lanjut tentang PKP yang sudah pun masuk ke fasa kedua hari ini, Eizlan berharap agar rakyat Malaysia terus patuh dengan perintah kerajaan.

“Kadang-kadang sedih juga apabila ada segelintir masyarakat yang masih tidak mengendahkan arahan PKP dengan keluar rumah tanpa urusan penting.

“Jika kita sendiri tidak patuh pada arahan ini tidak mustahil jika PKP akan memasuki fasa yang ketiga pula. Marilah kita sama-sama berganding bahu bagi memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam perkembangan lain pula, dia terpaksa akur apabila filem seram Town Mall lakonannya yang sepatutnya berada di pawagam pada 26 Mac ditunda ekoran PKP.

“Insya-Allah kita akan mendapatkan tarikh baru dan saya difahamkan ramai peminat yang tidak sabar menanti filem seram yang bakal menghantui pawagam ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas