Selebriti

“Murung Bukan Perkara Main-Main” – SHAH HAZVEE

|SHAH HAZVEE harap individu yang mengalami stres agar dekatkan diri dengan Allah dan elakkan daripada bersendirian.
- Diterbit 11 Ogos 2020 12:26 AM MYT

Gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia bukanlah perkara baharu. Ada saja kes bunuh diri atau cubaan bunuh diri yang dilaporkan oleh media arus perdana mahupun media sosial. 

Pelakon Shah Radhi Hazvee berpendapat kebanyakan individu yang berniat bunuh  diri ini berasa tidak mampu untuk menangani tekanan yang dialami seperti masalah kewangan, perceraian, putus cinta dan sebagainya.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini, ingatlah murung bukan perkara main-main. Ini kerana ada sesetengah individu menganggap kemurungan itu hanya dibuat-buat dan tidak perlu dipandang serius.

“Anggapan ini silap sama sekali. Lihat saja ramai artis ternama dunia bunuh diri kerana tekanan hidup dan orang sekeliling tidak memahami keadaan mereka. 

“Nasihat saya, bila kita tertekan walaupun hanya dengan masalah kecil, dekatkan diri dengan Allah seperti solat dan banyakkan berdoa. Mengaji Al Quran juga akan menenangkan jiwa,” kata Shah Radhi kepada Wilayahku. 

SHAH HAZVEE harap individu yang mengalami stres agar dekatkan diri dengan Allah dan elakkan daripada bersendirian.

Bagi Shah, sesiapa yang mengalami kemurungan atau stres, elakkan diri daripada menyendiri dan lakukanlah apa sahaja yang positif untuk memenuhi jadual seharian. 

“Jangan duduk berseorangan sebaliknya berkomunikasi dengan ahli keluarga atau cari kawan yang positif dan boleh memberi motivasi. 

“Dalam masa yang sama, sibukkanlah diri dengan kerjaya atau perkara-perkara berfaedah yang lain. 

“Saya tahu bercakap tidak semudah orang yang berhadapan tekanan, namun percayalah cara ini pastinya banyak membantu,” jelas pemilik nama sebenar Muhammad Shah Radhi,24.

Shah Radhi popular menerusi drama bersiri Hero dan Monalisa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas