Berita

Mujahid arah sekat gambar, video Muhammad Sajad di Mekah

MUJAHID (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan SKMM dan agensi travel petang tadi.
- Diterbit 3 Februari 2020 1:18 PM MYT

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan segera terhadap penyebaran pelbagai video dan gambar yang dimuat naik Muhammad Sajad Kamaruzzaman sepanjang menunaikan umrah.

“Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajad yang membuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Mekah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama pihak SKMM di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya petang tadi.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah agensi pelancongan umrah Albayt Travel (M) Sdn. Bhd.
Pertemuan itu susulan isu yang membabitkan ahli perniagaan kontroversi Muhammad Sajad yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Mekah sehingga tular di media sosial.

Selain itu Mujahid menjelaskan tindakan segera mengadakan pertemuan bersama SKMM diambil kerana suruhanjaya berkenaan mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana media sosial yang memuat kandungan yang menimbulkan rasa tidak selesa khususnya kepada umat Islam.

“Oleh kerana itu saya telah meminta nasihat dan memberi pandangan bagaimana satu tindakan yang tegas tentang isu ini,” katanya.

Sementara itu, Mujahid memberitahu, pertemuan bersama Albayt Travel yang membawa Muhammad Sajad dan keluarganya pula bertujuan bagi mengetahui situasi sebenar yang berlaku di Mekah.

Selepas perbincangan bersama agensi berkenaan, Mujahid memaklumkan Muhammad Sajad perlu mengerjakan ibadah umrah sebagai seorang lelaki berdasarkan keputusan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas.

“Kami berpegang kepada fatwa yang dikeluarkan oleh fatwa muzakarah haji yang terang dan jelas (menyebut) kekal seseorang yang asal gendernya lelaki maka, segala hukum hakam (untuk mengerjakan haji atau umrah) hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas