Berita

Ustaz Abdul Somad pukau 5,000 hadirin di Masjid Besi

SUASANA orang ramai yang hadir ke Ceramah Perdana 'Prima Dakwah Wilayahku' oleh penceramah jemputan Ustaz Abdul Somad di MTMZA, Putrajaya sempena SHWP 2020.
- Diterbit 4 Februari 2020 12:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Penceramah terkenal yang berasal dari Indonesia, Ustaz Dr. Abdul Somad memukau hadirin di Ceramah Perdana ‘Prima Dakwah Wilayahku’ sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) atau Masjid Besi di sini malam tadi.

Program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan MTMZA itu bertujuan mengeratkan silaturrahim, perpaduan sesama muslim serta platform interaksi dan ramah mesra warga Wilayah Persekutuan.

Dalam sesi kira-kira 1 jam 20 minit itu, Abdul Somad menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pembangunan Masyarakat Sejahtera : Mencontohi Nabi SAW Dalam Membangunkan Masyarakat Sejahtera Mengikut al-Quran Dan Sunnah’.

Beliau turut mengetengahkan idea serta perkongsian dalam melahirkan sebuah masyarakat sejahtera yang seimbang dari segi spiritual dan fizikal dalam membentuk sistem kekeluargaan yang harmoni serta masyarakat madani.

Sebelum mengakhiri ceramah dengan bacaan doa, Abdul Somad mengambil kesempatan mengingatkan jemaah yang hadir untuk sentiasa merujuk al-Quran agar kehidupan sentiasa berada di bawah rahmat Allah.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dalam ucapannya berkata, penganjuran program tersebut bertepatan dengan pelan tindakan Blueprint Masyarakat Sejahtera Perbadanan Putrajaya untuk mendidik komuniti Putrajaya yang berilmu, bermutu dan juga berbudi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim. – WILAYAHKU

MASJID BESI dibanjiri ribuan pengunjung yang hadir untuk mendengar ceramah daripada Ustaz Abdul Somad semalam.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas