Berita

Projek kereta nasional ketiga diyakini diteruskan – MARii

MADANI menyampaikan taklimat mengenai prospek automotif 2020 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 7 Mac 2020 7:52 AM MYT

KUALA LUMPUR – Projek kereta nasional ketiga yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diteruskan walaupun berlaku pertukaran tampuk kepimpinan negara ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, setakat ini tiada sebarang isyarat atau laporan bahawa inisiatif dikenali Projek Kenderaan Malaysia Baharu akan dihentikan..

“Saya baru bermesyuarat dengan syarikat yang membangunkan projek berkenaan untuk memaklumkan tarikh Malaysia Autoshow 2020 ditunda dan mereka tiada masalah untuk mempamerkan prototaip kereta nasional baharu pada acara automotif terbesar Malaysia tidak lama lagi.

“Jadi tiada sebarang maklumat atau laporan ia akan dihentikan,” katanya selepas menyampaikan taklimat prestasi automotif 2019 dan prospek 2020 di sini baru-baru ini

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Norazman Ayob.

Madani berkata, projek tersebut dibiayai syarikat swasta dan kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020) yang dilancarkan Dr. Mahathir pada Februari lalu.

“NAP 2020 memberikan inisiatif kepada projek kereta nasional baharu dan perkara itu kekal dalam dasar itu.

“Sekiranya syarikat swasta terbabit masih mahu meneruskan projek berkenaan, ia pasti diteruskan. Jika mereka mahu hentikan, tiada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan,” kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas